Himpunan Kraftangan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Siapa sempat cuci mata tengok barangan kraf di Malaysian International Craft Fair (MICF) pada 24 September hingga 5 Oktober yang lalu bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur? Best kan?

Pada mulanya Ai malas nak pergi sebab confirm ramai orang kat sana. Tapi sebagai pencinta kraf dan kesenian, hati ni meronta-ronta juga nak pergi.

Ai pergi pada hari bekerja, alhamdulillah tak ramai macam hujung minggu. Seawal 7:30 pagi Ai dah keluar rumah sebab nak naik train. 

Naik MRT, turun di stesen Conlay. Kompleks kraf betul-betul di hadapan stesen MRT. Kena melintas jalan kecil je. Kalau nak naik LRT ke, KTM ke, apa ke, sekarang dah mudah sebab dah banyak stesen pertukaran.

Baca juga: Misteri Fairy Circle

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Sebenarnya ni pertama kali Ai jejakkan kaki di sini. Selalunya lalu dan nampak dari luar je. Tak sangka pula besar gila tempatnya.

Kompleks Kraf Kuala Lumpur terletak di Seksyen 63, Jalan Conlay, Kuala Lumpur dengan berkonsepkan ikonik seni. Kompleks yang bercirikan seni bina Melayu Terengganu ini menghimpunkan produk-produk kraftangan tradisi dan moden dari seluruh pelusuk negara.

Tarikan utama

Kraf autentik Malaysia: Kompleks Kraf Kuala Lumpur menawarkan kepelbagaian produk auntentik yang boleh dijadikan sebagai cenderamata, hiasan dalaman, perhiasan diri fesyen serta kegunaan harian. Cenderamata yang unik ini boleh didapatkan di kedai Karyaneka Cenderamata.

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Muzium Kraf: Menyalurkan maklumat seni kraf melalui pameran artifak-artifak lama di samping memaparkan perkembangan teknologi dalam menghasilkan produk kraf serta proses pembuatannya.

Pendidikan: Banyak aktiviti yang ditawarkan melalui gabungan elemen seni dan pendidikan yang diterapkan pada setiap produk. Pengunjung dapat menyaksikan sendiri bagaimana karyawan seni menghasilkan hasil seni berimejkan Malaysia dari pelbagai medium.

Kafe: Dah penat tawaf seluruh Kompleks Kraf Kuala Lumpur, pengunjung boleh merehatkan diri sambil menjamu selera di Kafe Craft Delight.

Waktu operasi

Dibuka setiap hari dari Isnin hingga Ahad jam 9:00 pagi hingga 6:00 petang.

Lawatan berkumpulan

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur jika korang nak buat lawatan berpandu berkumpulan. 

Perkhidmatan ni percuma je, tapi kalau nak buat aktiviti macam lukis batik, ikat celup, seramik dan macam-macam lagi, sediakan duit jelah.

Sebarang maklumat tambahan atau penyertaan boleh hubungi di talian 03-21611470/1480 (talian terus) atau 03-21627459/7533 (talian umum) atau e-mel ke komplekskrafkl@kraftangan.gov.my.

Karyaneka, Beraneka Cenderamata

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Sampai di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, tempat pertama yang dituju adalah Karyaneka Cenderamata. sekarang MICF dah habis, tapi Karyaneka dan tempat-tempat lain buka je macam biasa.

Kat dalam ni ada beraneka cenderamata terutamanya yang diperbuat daripada batik, songket, anyaman, ukiran dan sebagainya. Hampir satu jam juga lah Ai kat dalam tu membelek satu-persatu produk yang dijual.

Selain Watsons, Guardian dan kedai alat tulis, Ai selalu kalah dengan tempat-tempat macam ni. Ralit!

Selain Karyaneka Cenderamata, ada juga Karyaneka Korporat yang menawarkan cenderamata berasaskan logam perak, tembaga, piuter, kayu dan kristal. Ai bagitahu awal-awal, harganya tak marhaen ya. 

Kalau nak yang mampu milik, Karyaneka Cenderamatalah tempatnya. Tapi nak cuci-cuci mata, apa salahnya.

Untuk koleksi fesyen daripada batik, tenunan dan songket, korang boleh ke butik Kraf Karyaneka. Tiga serangkai ni terletak di tempat yang sama.

Muzium Kraf Kuala Lumpur

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Selepas dah tawaf satu kedai, Ai masuk pula ke Muzium Kraf Kuala Lumpur. Masuk adalah percuma, tapi kena daftar di pintu masuk.

Lagi sekali Ai hilang kat dalam tu. Hahaha! Kalau tadi tengok barang-barang jualan, kali ni dapat belajar tentang sejarah kraf Malaysia.

Muzium Kraf telah mula dibuka pada tahun 1995 bersama penubuhan Kompleks Kraf Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Kompleks Budaya Kraf. 

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Muzium ini ditubuhkan untuk menjadi sumber pendidikan dan rujukan dalam menghayati serta mempelajari seni kraf tempatan. Ini sebagai inisiatif Kraftangan Malaysia untuk memulihara dan melindungi seni kraf warisan negara.

Pengunjung berpeluang untuk mengenali kraf tempatan melalui keunikan produk, motif, bahan, proses pembuatan, fungsi produk serta tokoh kraf yang diiktiraf.

Selain di Kuala Lumpur, ada juga Muzium Kraf yang terletak di Langkawi, Johor dan Melaka.

Ruangan Jualan Malaysian International Craft Fair

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Ingatkan Karyaneka dan Muzium Kraf dah cukup buat Ai hilang dalam dunia sendiri. Bila turun ke ruangan jualan MICF, lagi rambang mata!

MICF ni ada dua edisi iaitu antarabangsa dan tempatan. Ai pergi betul-betul sehari selepas edisi antarabangsa tamat. Jadi, kita nikmati kraf tempatan je.

Bermacam-macam jenis kraf yang dijual dan dipamerkan di sini. Paling banyak yang Ai nampak adalah produk-produk batik dan aksesori wanita macam gelang dan rantai manik tu.

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Dari mata kasar nampak macam sama je produk yang dijual, tapi kalau korang rajin belek satu-persatu gerai, setiap dari mereka ada produk killer mereka yang tersendiri.

Selain produk batik dan aksesori wanita, ada juga produk-produk ukiran kayu, lukisan, anyaman, perhiasan, tradisional dan sebagainya.

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Dalam banyak-banyak gerai jualan, Ai tertarik dengan gerai Kebaya On The Go. Korang boleh pakai kebaya yang disediakan dan ambil gambar di backdrop yang disediakan secara percuma. 

Comel-comel je mereka yang bergambar. Semua excited! Ai tak join sekali sebab malas nak tukar-tukar baju. Kalau dia bagi bawa balik terus kebaya tu, dengan pantas Ai join sekali. Tak apalah bersusah-susah sikit. Hahaha!

Pulang Ke Pangkal Jalan

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Dah selesai tawaf MICF dua ke tiga kali, Ai patah balik ke Karyaneka Cenderamata. Tadi tengok-tengok, kali ni nak beli beberapa barang yang Ai rasa lebih kemas pembuatannya dengan harga yang lebih berpatutan dari di gerai jualan MICF.

Untuk MICF yang akan datang, pasti Ai akan pergi lagi. Dan Ai harap akan ada lebih banyak penambahbaikan dan kepelbagaian produk jualan serta mampu milik.

0 orang berborak di sini!

Jangan lupa untuk tinggalkan komen =D