Aisya Ismail
Aisya Ismail
  • Tentang
    • Writer
    • Privacy Policy
    • Disclaimer
  • Fesyen
    • Aksesori
    • Hijab
    • Outfit
    • Popular
    • Tip Fesyen
  • Kecantikan
  • Gaya Hidup
    • Drama dan filem
    • Info & Ilmu
    • Jalan-jalan
    • Kreatif
    • Makan Sedap
    • Random
    • Resipi
  • Sorotan
    • Info Terkini
    • Kempen
    • Kolaborasi
    • Pilihan Editor
  • Hubungi

Ada tak penggemar daun ketumbar? Ramai orang tak boleh nak bezakan daun ketumbar dengan daun sup. Kalau macam Ai bukan tak tahu, tapi sesekali nak cepat tu memang main ambil tak teliti dulu rupa bentuk dia. 


Daun ketumbar yang juga dikenali sebagai coriandrum sativum adalah daun yang popular dalam dunia masakan dan juga perubatan tradisional. Ai suka bau daun ketumbar ni, wangi. Lebih-lebih lagi kalau dalam masakan. Fuh! Tapi ada orang kata busuk pula. Khasiatnya juga pelbagai dan dah dimanfaatkan sejak beribu tahun dahulu.


Daun ketumbar


Beberapa minggu lepas masa Ai balik kampung, Mak ada minta Ai masakkan sup ikan. Disebabkan sup ikan ni boleh dikategorikan sebagai resipi yang mudah, Ai nak susahkan dengan hiasan dia. Tak susah mana pun, cuma nak cantikkan dengan tabur daun sup je. Kan cantik sup ada warna kehijauan. 


Ai ajak Coco ke Lotus's untuk beli daun sup, dan Coco ok je jalan-jalan sambil cuci mata. Balik rumah tu, masa keluarkan daun sup dari plastik, Ai dah bau lain tapi Ai buat-buat macam salah bau. Bila Ai potong je, mak terus tanya daun apa yang Ai beli. Terus Ai tersedar, ini daun ketumbar! Hahaha! 


Aduhai... kesian Mak sebab dia tak makan daun ketumbar. Selepas tu, setiap kali nak beli daun ketumbar atau daun sup Ai akan periksa betul-betul walaupun dah yakin itu daun yang Ai nak beli. Tak salah pun kalau kita pastikan betul-betul. Jadi, macam mana nak bezakan daun ketumbar dan daun sup?


Baca juga: 6 kegunaan kulit limau


Daun ketumbar


Perbezaan daun ketumbar dan daun sup

Walaupun mempunyai rupa yang hampir serupa, namun kedua-duanya mempunyai perbezaannya yang tersendiri. Korang boleh bezakan dengan mudah jika tahu dan peka dengan perbezaan-perbezaan ini.

1. Nama di pasaran

Jika di pasaraya, selalunya sudah dilabel dengan nama daun ketumbar atau daun sup sama ada di plastik pembungkusan, tanda harga yang ditampal, mahupun papan tanda yang besar. Tapi kadang-kadang ianya dilabel menggunakan nama saintifik dan Bahasa Inggeris coriander leaves atau cilantro untuk daun ketumbar (coriandrum sativum) dan celery leaves, chinese celery atau parsley (petroselinum crispum) untuk daun sup.


2. Rasa

Daun ketumbar ada rasa sitrus dan agak pedas sedikit. Pedas yang boleh diterima, bukan pedas cili tau tapi pedas daun. Haaa faham ke tu? Hehehe! Manakala daun sup pula mempunyai rasa yang lebih ringan, agak manis, berserat dan kadang-kadang ada rasa daun herba.


3. Bau

Daun ketumbar mempunyai bau sitrus yang agak kuat namun menyegarkan. Ada orang berpendapat baunya wangi dan ada yang berpendapat baunya busuk dan tak boleh diterima apatah lagi untuk memakannya. Manakala daun sup pula baunya lebih wangi dan lembut.


Daun ketumbar


4. Bentuk daun dan batang

Daun ketumbar memiliki bentuk daun yang berbentuk bulat dengan warna hijau tua dan terbahagi kepada beberapa segmen yang lebih kecil. Bentuk dan ukuran daunnya sangat mirip dengan daun parsley. Batangnya pula lebih kurus dan pendek. Daun sup pula memiliki bentuk daun yang runcing dalam kelompok yang lebih kecil. Berwarna hijau tua dengan tangkai yang lebih gemuk dan panjang.


5. Akar pokok

Bagi daun ketumbar, akarnya lebih besar dan tebal serta mempunyai ciri akar tunjang jika nak dibandingkan dengan daun sup yang mempunyai akar yang agak kecil dan lebih berserabut.


Cara simpan daun ketumbar dengan betul agar kekal segar

Jika nak dibandingkan dengan daun sup, daun ketumbar lebih cepat layu dan rosak walaupun korang simpan dalam peti sejuk. Tapi kalau korang simpan dengan betul, insya-Allah daun ketumbar boleh tahan lama. 


Daun ketumbar


1. Basuh daun ketumbar dengan lembut untuk mehilangkan kotoran dan bahan kimia yang berlebihan. Jangan kasar-kasar, hancur pula daun tu nanti. Guna air paip je. Kemudian keringkan guna tuala bersih atau tisu dapur.


2. Ambil sekeping tisu dapur yang bersih dan lembabkan sedikit dengan air sejuk. Letakkan daun ketumbar di atas tisu dan lilitkan tisu secara perlahan. Jangan terlalu ketat. Kemudian masukkan ke dalam plastik dan simpan di dalam peti sejuk. 


3. Elakkan kelembapan yang berlebihan dalam beg plastik kerana ia boleh menyebaban daun ketumbar layu dengan cepat. Pastikan tisu ditukar jika sudah kering.


Dengan tiga langkah di atas, insya-Allah korang boleh kekalkan kesegaran daun ketumbar kira-kira satu hingga dua minggu.


Khasiat dan manfaat daun ketumbar

Makanan yang berasaskan tumbuhan berwarna hijau ni memang banyak manfaat dia. Daun ketumbar tidak terkecuali dengan pelbagai khasiat dan manfaat yang memberi impak kesan positif kepada kesihatan manusia.


Daun Ketumbar


Selain baik dalam kesihatan, daun ketumbar juga banyak digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat masalah seperti batuk, demam dan keletihan. Aroma dan rasa daun ketumbar juga memberikan nilai tambah dalam hidangan masakan, meningkatkan selera dann menyumbang kepada variasi rasa dalam makanan.


Pendek kata, daun ketumbar adalah herba yang bermanfaat yang memberikan pelbagai khasiat kesihatan serta penambah rasa dalam makanan serta menjadikannya penting dalam gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang.


Daun ketumbar merbahaya?

Secara umumnya daun ketumbar adalah selamat untuk dimakan dan digunakan dalam jumlah biasa dalam makanan. Namun ada individu yang mungkin mengalami alahan atau reaksi kulit terhadap daun ketumbar. Sebab tu penting untuk ambil berat terhadap tanda-tanda reaksi alergi. 


Bukan untuk daun ketumbar sahaja, malah semua jenis makanan di dunia ini. Nampak sedap belum tentu sesuai untuk kita. Kalau korang ada penyakit yang tertentu dan ragu-ragu untuk makan daun ketumbar tapi nak makan, tanyalah pada doktor pakar korang kerana mereka lebih tahu apa yang sesuai dan tidak untuk dimakan.


Daun ketumbar


Berapa harganya?

Daun ketumbar tak mahal pun, biasanya Ai beli bergantung lokasi di mana beli. Kalau pergi tempat yang pakai kipas, murah lagi dari tempat yang berpenghawa dingin. Tapi masih mampu untuk dimakan. Guna pun tak banyak dalam masakan, jadi tak perlu lah beli banyak-banyak. Belum pernah lagi Ai tengok orang makan daun ketumbar macam makan nasi. Hehehe!


Di mana nak beli?

Daun ketumbar boleh dibeli di pasar raya, pasar tani, pasar basah, pasar malam atau kedai runcit. Ada tempat dah siap ikat atau dalam plastik, ada tempat lain pula boleh ambil ikut kuantiti yang kita nak baru ditimbang. Selalunya yang timbang kemudian ni lebih murah. Betul ke? Kalau korang sejenis yang nak kena selalu makan daun ketumbar, tanam je sendiri. Dalam pasu pun boleh hidup.


Tak tahan bau daun ketumbar

Kalau tanya Ai, bau daun ketumbar tu wangi. Lebih-lebih lagi bila dah dimasukkan ke dalam makanan. Sedapnya bau dia, harum semerbak. Tapi tak semua orang suka. Macam Ai cerita tadi, Mak tak suka bau daun ketumbar. Boleh potong selera dia. 


Mak lebih sanggup tak makan dari bau daun ketumbar. Huhuhu! Tapi itu selera masing-masing, dan pada Ai selera Mak lebih penting. Takpe lah Ai tak makan daun ketumbar dari Mak tak makan langsung.


Makanan menggunakan daun ketumbar

Sering digunakan dalam pelbagai jenis makanan untuk menaikkan rasa dan aroma yang unik. Contoh makanan yang menggunakan daun ketumbar seperti sup, kari, nasi beriyani, nasi goreng, mee goreng, lauk-pauk seperti rendang dan daging goreng serta hidangan seperti spring roll atau nasi ulam dan banyak lagi. 


Daun ketumbar

Selain itu, daun ketumbar juga sering digunakan sebagai hiasan dan perasa dalam salad, sandwich dan hidangan berbahan dasar daging, ikan atau ayam. Dalam masakan Asia, daun ketumbar digunakan sebagai bahan penting dalam hidangan seperti pho Vietnam, nasi lemak Malaysia dan pad Thai Thailand. 


Dengan kehadiran daun ketumbar, makanan mendapat cita rasa tambahan dan aroma yang segar dan menjadikannya elemen paling penting dalam dapur dan seni masakan. Apa lagi, cari daun ketumbar untuk tambah rasa enak dalam makanan korang.


Baca juga: Sotong Masak Kicap

Baca juga: Daun kesum

Baru-baru ni Ai teringin nak makan ikan bakar yang bukan masakan sendiri. Ramai yang cadangkan untuk pergi ke Jeram. Menarik juga tapi Ai tak nak lah yang jauh sangat, nak cari kedai makan near me saja. Jimat masa dan minyak kereta. Hahaha! Apa yang penting, sedap!


Bila dah teringin ni, memang rajinlah nak mencari. Nak cari pula yang sedap, kena rajin baca review yang orang bagi. Ai cari guna dua cara, yang pertama Ai tanya pada kenalan dekat dan di media sosial dan yang kedua mestilah carian di Google. 


Di Google memang banyak senarai pilihan kedai makan near me ikan bakar, Ai tinggal nak pilih je tau. Pilihan Ai melalui review yang baik, dan terjumpalah dengan Ikan Bakar Baitul Mahabbah.


Baca juga: Makan makanan laut segar di Serkam, Melaka


Ikan bakar near me

Sedap makan di kedai makan near me Ikan Bakar Baitul Mahabbah

Hari tu Ai makan set ikan siakap bakar dan set sotong bakar. Dalam set ni ada ikan, sotong atau ayam mengikut pilihan korang, nasi putih, kuah asam dan satu lagi kuah macam masak asam tapi bukan masak asam. Haaaa korang try lah pergi dulu, lepas tu bagitahu Ai tu kuah apa. Lupa nak tanya masa di kedai tu. Sotong tu besar tau, bukan sotong kecil-kecil. Dan untuk Ai yang penggemar sotong ni, pada Ai sotong tu tak liat pun. Secara keseluruhan, memang sedap dan korang wajib cuba.


Harga mampu makan

Ai pernah makan di beberapa kedai makan ikan bakar sebelum ni, pada Ai Ikan Bakar Baitul mahabbah memang berbaloi-baloi. Makan dua orang tak sampai RM30 pun dan lagi sekali pergi, makan 4 orang dalam RM60 sahaja termasuk sup kosong dan telur dadar. Untuk harga ikan bakar, pada Ai harga ni memang berbaloi-baloi sangat sebab boleh makan dan kenyang. Portion dia tak besar dan tak kecil, tapi ikan dia memang besar. Berbaloi sangat dengan harga yang dikenakan.


Kedai makan near me


Pilihan menu yang ada

Jika nak dibandingkan dengan kedai makan yang lain, Ikan Bakar Baitul Mahabbah tak banyak menu pilihan. Malah tak ada sayur pun. Dia memang fokus kepada jual makanan bakar-bakar sahaja. Itu yang membuatkan servis dia agak pantas, sebab dia fokus pada menu utama sahaja. Menu yang lain dari lain adalah sup daging. 


Tapi kan, kalau ada sayur lagi sedap makan dengan ikan bakar macam sayur kailan ikan masin. Fuhhh terliur babe. Buat masa ni Ai dah rasa ikan siakap bakar, ikan cencaru bakar, ikan pari bakar dan sotong bakar. Semua kena dengan tekak ni. Selain bakar, goreng pun ada.


Kedai Makan Near Me


Menu bakar dan goreng

1. Ikan siakap

2. Ikan pari

3. Ikan talapia

4. Ikan cencaru

5. Ikan bawal

6. Ikan kembung

7. Ikan keli

8. Sotong

9. Ayam


Air sirap percuma!

Korang jenis yang makan kat kedai kena order air yang special atau tak kisah minum apa pun? Kalau tak kisah, minum lah air sirap yang disediakan secara percuma. Di tengah kedai ada disediakan balang air sirap dan cawan. 


Nak tambah sepuluh kali pun boleh. Cuma jangan membazir sahaja. Oh ye, kena ambil sendiri tau. Air percuma jangan lah nak demand lebih-lebih pula sampai semuanya nak berhidang depan mata. Hehehe!


Cara nak order di Ikan Bakar Baitul Mahabbah

Macam biasalah, masuk kedai cari tempat duduk lepas tu akan ada orang datang ambil order. Kalau dia tak perasan korang tengah tunggu, lambai-lambai lah tangan tu sikit. Lepas order, tunggu lah sekejap. Pengalaman Ai dah dua kali pergi makan kat situ, tak lama pun nak tunggu order siap. Sampai ke meja pun masih panas lagi. Lepas dah makan kenyang, bayar lah di kaunter. Kalau korang tak ada cash, nak bayar guna QR Code pun boleh.


Kedai makan near me


Hari Jumaat tutup!

Waktu operasi kedai makan near me ni dari pukul 11 pagi sampai pukul 3 petang sahaja. Khas untuk cari makan tengahari. Jangan datang hari Jumaat tau sebab hari cuti untuk kedai makan Ikan Bakar Baitul Mahabbah. Terutama sekali untuk korang yang datang dari jauh, datang-datang tapi tak dapat makan kan dah buat penat je datang. Lagi teruk kalau ada yang mengidam, kesian baby tak dapat makan ikan bakar. 


Lokasi di Shah Alam

Kedai makan Ikan Bakar Baitul Mahabbah ni terletak di Shah Alam. Orang-orang Shah Alam boleh lah pergi. Pekerja di sana berikan layanan mesra. Tapi jangan harapkan layanan yang berlebihan pula, nak layanan istimewa bukan di situ ya. Alamat dan lokasi seperti di bawah.

Jalan Dusun Tua 27/9, Taman Bunga Negara, 40400 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.


https://goo.gl/maps/WiqJGKegs8mrVMy79



Kedai makan near me Ikan Bakar Baitul Mahabbah


Kedai makan near me


Walaupun hanya kedai makan tepi jalan sahaja, tapi tu semua tak penting untuk Ai. Apa yang paling penting adalah murah, sedap dan pantas serta selesa makan bersama keluarga. Dah dua kali Ai makan kat situ, dua kali juga tak mengecewakan. 


Cuma kalau ada yang tak tahan panas tu, bawa lah kipas mini sendiri. Cuaca panas, memang berkicap lah. Sangat tak sesuai untuk korang yang nak layanan tip top macam di restoran lima bintang. Selamat mencuba!


Baca juga: Sayur Masak Lemak

Baca juga: Resepi Maggi Goreng

Hari ini dah masuk ke bulan Ogos, bulan di mana Malaysia telah mencapai kemerdekaan. Bulan yang paling meriah dengan bendera Malaysia yang dipasang di hadapan rumah, di kenderaan, pejabat malah di mana-mana sahaja. 


Tak sabar nak tunggu kemeriahan 31 Ogos yang bakal menyaksikan ramai orang konvoi di jalan raya sambil kibarkan bendera Malaysia. Seronok kibarkan bendera Malaysia, korang tahu tak sejarah di sebalik bendera ni? Haaa... kalau tak tahu, meh Ai nak bagitau. Yang dah tahu pun kena baca juga tau.


Baca juga: Taman Lembah Bukit SUK, Shah Alam


Bendera Malaysia


Sejarah awal bendera Malaysia

Pada abad ke-17, kerajaan Melayu sudah pun menggunakan bendera dengan berlatarkan warna putih di setiap negeri. Macam cerita Nujum Pak Belalang lah, tapi dalam cerita itu hanyalah bendera rekaan sahaja. Setelah penjajahan British di Tanah Melayu, mereka telah menasihati untuk ubah bendera agar berbeza di setiap negeri. Kesemua negeri menerima nasihat itu kecuali Terengganu yang mengekalkan bendera putih sehingga tahun 1925.


Baca juga: Pasar Payang Terengganu


Jalur Gemilang, bendera Malaysia

Pada tahun 1949, Majlis Raja-Raja telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa berhubung reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pada tahun tersebut, satu pertandingan yang dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan telah diadakan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. 


Pertandingan ini mendapat 373 penyertaan dari karyawan seluruh negara dan tiga rekabentuk bendera telah berjaya ke peringkat akhir. Orang ramai diberi peluang untuk menilai dan memberi pendapat untuk ketiga-tiga bendera tersebut dan majoriti telah memilih rekaan bendera ketiga ciptaan Mohamed bin Hamzah, seorang arkitek kerajaan dari Johor. 


Reka bentuk awal menampilkan kacukan bendera negeri kelahiran Mohamed iaitu Johor dan bendera Kerajaan Majapahit dengan sebelas jalur biru dan putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri di dalam pepenjuru bewarna merah. Walau bagaimanapun rekaan ini perlu diubah suai bagi mendapatkan rekaan yang lebih padu. 


Setelah mendapat kata sepakat dan membuat pengubahsuaian rekaan bendera, reka bentuk tesebut telah dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara dan diteliti semula pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950 dan telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 19 April 1950. 


Pertama kali bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor setelah mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Majlis ini telah dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai Raja George VI.


Bendera Malaysia


Pembetukan Malaysia

Bendera Persekutuan Tanah Melayu sekali lagi diubah suai kerana pencantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu, Malaysia. Dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan bahawa reka bentuk bendera Malaysia adalah sama dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Ini telah dipersetujui oleh Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam persidangan tersebut. Walaupun Singapura telah keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, rekaan bendera ini dikekalkan.


Sejarah nama Jalur Gemilang

Bendera Malaysia kekal dengan namanya selama 47 tahun dan telah ditukar kepada Jalur Gemilang pada tahun 1997 bersamaan kemerdekaan ke-40 negara Malaysia. Nama Jalur Gemilang telah diusulkan oleh Redzuan Tamin, pegawai dari Jabatan Negara dan Antikuiti dalam satu peraduan dan berjaya menewaskan 28 cadangan lain seperti Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.


Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang telah diusulkan oleh Datuk Hashim Mat Dris pada 11 Julai 1995 yang telah dikemukakan kepada Tun Mahathir, Perdana Menteri pada ketika itu. Pada 1 Julai 1996, 75 cadangan nama beserta ulasan dan huraian telah dikemukakan dan tiga nama telah disenarai pendek iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara yang akhirnya ditolak oleh Jemaah Menteri dalam satu mesyuarat pada 11 September 1996. 


28 nama lain telah dicadangkan pada 2 Jun 1997 dan tiga nama yang disenarai pendek adalah Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang. Nama Jalur Gemilang telah dipilih bagi menggantikan Bendera Malaysia. Peinsytiharan nama Jalur Gemilang telah dilakukan pada jam 11:58, 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Negara yang ke-40. Pengisytiharan ini telah dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad.


Jalur Gemilang bukan sekadar nama sahaja, ia mempunyai maksudnya yang terperinci.


Jalur

Menggambarkan bendera yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Lambang jalur pada bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus dan hala tuju yang sama semua negeri dalam Malaysia menuju kegemilangan bangsa dan negara.

Gemilang

Membawa maksud bercahaya, terang-benderang serta cemerlang. Oleh itu Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi kehidupan di dalam dan luar negara. Rakyat juga bersungguh-sungguh, gigih dan sanggup untuk menaikkan imej negara dan sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.


Bendera Malaysia


Undang-undang terkait

Jangan sesekali menghina bendera Malaysia kerana bendera Malaysia adalah tertakluk kepada Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963. Menghina bendera dari segi percakapan mahupun perbuatan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. Sebelum nak buat sesuatu tu, fikirkan dulu nasib di kemudian hari. Jangan ikutkan hati nanti binasa.


Maksud di sebalik bendera Malaysia

Rekaan dan corak

1. 14 jalur melintang merah dan putih melambangkan gabungan 13 negeri dan 1 Wilayah Persekutuan yang bernaung di bawah satu Malaysia.

2. Bintang pecah 14 menunjukkan perpaduan kesemua negeri dan Wilayah Persekutuan.

3. Bulan sabit melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia.


Warna

1. Putih melambangkan kesucian

2. Biru melambangkan perpaduan rakyat yang berbilang bangsa

3. Kuning melambangkan kedaulatan Raja Berperlembagaan

4. Merah melambangkan keberanian dan kesediaan untuk menghadapi rintangan.


Lirik lagu Jalur Gemilang


Ramai orang tak tahu Jalur Gemilang ada lagunya yang tersendiri. Lagu ini akan kerap didengari pada bulan Ogos sempena bulan kemerdekaan negara Malaysia. Namun begitu, sebelum nama bendera Malaysia digantikan kepada Jalur Gemilang, ada sebuah lagu yang dicipta khas untuk bendera Malaysia yang Bendera Malaysia atau juga Benderaku ciptaan Tony Fonseka. Lagu Jalur Gemilang telah dilancarkan pada 9 Ogos 2023. Ada yang tak pernah dengar lagu-lagu ni? Korang pasti ke korang tak pernah dengar? Pergi cari lagu ni cepat!


Lirik lagu Benderaku

Benderaku yang gagah perkasa

Merah putih kuning biru warnanya

Pusaka kita rakyat Malaysa

Bendera Malaysia oh benderaku

Ku pertahankan sepenuh ragaku

Dikaulah lambang negara berpadu

Di bawah naungan Duli Tuanku 

Beribar terus oh benderaku

Kau kan ku junjung sepanjang waktu

Harumlah nama negara yang tercinta

Padamu tempat taat dan setia

Bendera Malaysia bendera kita

Kemegahan rakyat kita semua

Berkibar berkibar di ruang angkasa

Dirgahayu bendera tercinta


Lirik lagu Jalur Gemilang

Merahmu bara semnagat waja

Putihmu bersih budi peerti

Kuning berdaulat paung negara

Biru perpaduan kami semua


Puncak dunia telah kau tawan

Lautan luas telah kau redah

Membawa semangat jiwa merdeka

Semangat jaya kami warganya


Empat belas melintang jalurnya

Semua negeri dalam Malaysia

Satu suara satu semangat

Itu sumpah warga berdaulat


Jalur Gemilang di bawah naunganmu

Jalur Gemilang kami semua bersatu

Perpaduan Ketaatan

Amalan murni rakyat Malaysia

Jalur Gemilang megah kami terasa

Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan

Merah, putih, biru, kuning

Jalur semangat kami semua


Berkibarlah, berkibarah, berkibarlah

Jalur Gemilang!


Bendera Malaysia


Bendera Malaysia mencerminkan semangat perpaduan, keagamaan dan semangat keadilan seluruh rakyat Malaysia dan menggambarkan bangsa yang majmuk. Bersempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita beramai-ramai kibarkan Jalur Gemilang. Semoga negara Malaysia terus aman dan makmur sentiasa. Aamiin!


Baca juga: IKEA Damansara

Rasanya dah lama ai tak kongsikan resipi dekat blog ni. Jadi, hari ini ai nak kongsikan satu resipi ringkas. Sesuai sangat resipi ayam kicap pedas ni untuk korang yang malas nak masak masakan yang leceh. Sedap dan mudah.

Resipi Ayam Kicap


Bahan-bahan

1. 1/2 ekor ayam
2. 1 sudu teh kunyit
3. Garam secukup rasa
4. Minyak masak
5. 1 biji bawang besar
6. 1 ulas bawang putih
7. 1 atau 2 sudu makan cili kisar
8. 1 sudu makan sos tiram
9. Kicap masin secukup rasa
10. Air asam


Cara-cara

1. Gaulkan ayam bersama kunyit dan garam kemudian gorengkan di dalam minyak yang panas sehingga separuh masak. Api jangan terlalu kuat.
2. Goreng bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau. Minyak jangan banyak.
3. Masukkan cili kisar dan goreng hingga garing kemudian masukkan sos tiram dan goreng sehingga pecah minyak.
4. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi, gaul sehingga sebati.
5. Masukkan air asam dan kicap kemudian gaulkan rata dan tunggu sehingga mendidih.
6. Siap untuk dihidang dan dinikmati.


P/s : Kalau korang tak suka kuah yang banyak, korang biar lama sikit sehingga kuah itu pekat. Selamat mencuba!

Baca juga: Persatuan suri rumah Malaysia
Baca juga: Biji ketumbar

Dalam sebuah majlis perkahwinan, selain pakaian dan pelamin yang cantik, tak lengkap rasanya jika tidak disertakan dengan hantaran kahwin. Ada yang kata hantaran kahwin perlu dalam kuantiti yang ganjil, ada pula yang kata tak kisah ganjil atau genap, ada pula yang kata tak ada pun tak apa. 


Kalau korang, ok ke kalau tak ada hantaran kahwin di majlis perkahwinan sendiri?


Baca juga: Majlis kahwin simple atau meriah? 


hantaran kahwin


Apa itu hantaran kahwin?

Hantaran kahwin merupakan hadiah yang diberikan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dan daripada pengantin perempuan kepada pengantin lelaki semasa akad nikah. Ianya adalah salah satu tradisi dalam perkahwinan di Malaysia terutamanya dalam budaya Melayu. 


Dulu setiap hantaran mempunyai makna yang simbolik yang melambangkan kemakmuran, kebahagiaan dan harapan untuk hidup bahagia bersama pasangan. Zaman sekarang Ai tak pasti masih ada makna simbolik pada setiap hantaran kahwin atau tidak. 


Masa Ai kahwin, Ai sendiri sediakan hantaran kahwin sekadar melengkapkan adat orang Melayu. Hehehe! Jangan marah haaa... 


Berapa dulang hantaran yang wajib?

Tak ada jumlah yang ditetapkan di dalam sesebuah majlis perkahwinan. Ia bergantung kepada kesepakatan kedua belah pihak pengantin yang akan berkahwin. Namun, dulang hantaran kahwin biasanya terdiri daripada jumlah yang ganjil seperti tiga, lima, tujuh, sembilan atau sebelas dulang. Lebih dari tu pun ada tau. Dan biasanya hantaran kahwin dari pihak pengantin perempuan akan lebih dari pihak pengantin lelaki. 


Tak aci kan? Ai degil sikit, dua-dua belah pihak kena sama rata. Hantaran kahwin Ai tujuh dulang berbalas tujuh. Mak dan baba ok je. Kalau orang tua korang tak setuju nak sama rata ni, korang ikutkan je lah. Setiap tempat mungkin ada adat yang tersendiri. 


Pilihan barang di atas dulang hantaran, korang berbincang lah dengan pasangan masing-masing apa yang korang nak bagi dan terima. Jangan disebabkan hantaran kaahwin, ada ungkit mengungkit pula selepas kahwin. Tak harmoni rumah tangga nanti.


hantaran kahwin


Tips pilih barang hantaran kahwin

Macam Ai cakap tadi, berbincanglah dengan pasangan masing-masing dahulu sebelum buat keputusan apa yang nak diberi. Penting untuk korang ambil tahu apa yang pasangan korang minat dan mahukan. Barang hantaran ni kebiasaannya adalah untuk kegunaan selepas berkahwin, bukannya sebagai hiasan. Hiasan tu nanti dah kahwin korang beli lah lain. Seronok tau beli barang rumah dengan pasangan selepas kahwin. 


Nak nampak cantik, bolehlah pilih barang hantaran mengikut tema warna. Tapi ini tak penting sebab korang boleh je gubah hiasan hantaran mengikut tema warna yang telah ditetapkan. 


Pilih hantaran kahwin ni mestilah berdasarkan bajet korang bersama pasangan. Jangan kerana nak nampak gah, korang beli barangan di luar kemampuan korang dan swipe kad kredit sana-sini. Sekarang memang seronok, sakitnya datang selepas kahwin nanti. Banyak hutang nak dibayar sehingga menjadi bebanan buat pengantin baru.


Idea hantaran kahwin lelaki untuk pengantin perempuan

1. Duit Mas Kahwin

2. Duit Hantaran

3. Barang kemas seperti cincin, gelang atau rantai untuk batal air sembahyang

4. Tepak Sirih Junjung

5. Bunga Rampai

6. Set wangian

7. Set mandian

8. Kasut

9. Kek

10. Buah-buahan

11. Jam tangan

12. Tuala mandi / bathrobe

13. Telekung beserta sejadah

14. Set Al-Quran

15. Barang mekap


hantaran kahwin


Idea hantaran kahwin perempuan untuk pengantin lelaki

1. Cincin sepasang dengan pengantin perempuan

2. Tepak Sirih Junjung

3. Bunga Rampai

4. Set wangian

5. Set mandian

6. Kasut

7. Buah-buahan

8. Jam tangan

9. Tuala mandi / bathrobe

10. Al-Quran

11. Kemeja atau Baju Melayu

12. Kain pelikat

13. Set dompet dan tali pinggang

14. Gajet

15. Coklat


Perbezaan antara duit hantaran dan mas kahwin

Dalam adat perkahwinan di Malaysia, ada dua perkara penting yang berkaitan dengan wang tunai. Kalau duit, dah tentu lah penting, betul tak? Dua perkara ini adalah duit hataran dan mas kahwin. Jadi, apa perbezaan di antara dua duit ini?


Duit hantaran

Ini adalah wang tunai yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan semasa majlis pertunangan atau akad nikah. Ada adat yang perlu beri setengah-setengah, ada juga yang perlu beri sekali gus. Ada sesetengah pihak pula, tak kisah nak beri bagaimana sekalipun. Ikut lah yang mana dipersetujui dan kemampuan di kedua belah pihak. 


Duit hantaran ni, untuk orang dulu-dulu adalah simbolik daripada pihak lelaki sebagai kasih sayang, penghargaan dan sokongan kewangan yang diberikan kepada pihak perempuan. Jumlahnya tidak ditetapkan berapa dan akan menjadi hak peribadi pihak perempuan sama ada nak digunakan sebagai perbelanjaan majlis atau tidak. 


Ianya tak wajib pun. Kalau sama-sama ok, tak nak bagi pun tak apa. Zaman sekarang, ada juga yang tukarkan wang hantaran dengan emas. Sayanglah nak gadaikan lepas kahwin nanti kan?


Mas Kahwin

Lain dari duit hantaran, mas kahwin adalah sejumlah wang yang diberikan oleh penganti lelaki kepada pengantin perempuan dan turut disebut sewaktu akad nikah. Jadi perlulah diserahkan pada hari akad nikah tersebut, jika tidak akan disebut sebagai hutang. 


Biasanya wang mas kahwin akan diletakkan di atas dulang hantaran. Jumlahnya sudah ditetapkan mengikut negeri. Boleh juga ditukarkan dengan barangan yang sama nilai atau lebih. Mas kahwin ini akan menjadi hak peribadi pengantin perempuan dan biasanya digunakan untuk keperluan peribadi atau disimpan untuk kegunaan di masa hadapan. 


Wang mas kahwin yang Ai dapat semasa akad nikah dulu, masih ada Ai jadikan sebagai kenang-kenangan. Tapi akhir-akhir ni Ai mula fikirkan untuk beli sesuatu dengan mas kahwin tersebut. Pun satu kenang-kenangan juga bila mana barang yang kita beli menggunakan duit mas kahwin. Tak adalah tersimpan je kan.


hantaran kahwin


Tak wajib, hanya budaya

Sebenarnya hantaran kahwin bukanlah sesuatu yang wajib diberi. Dalam Islam, nak kahwin ada rukun nikah. Dalam rukun nikah itu sendiri tiada tentang hantaran. Ianya adalah budaya yang telah dibiasakan sejak sekian lama. Tak nak bagi pun tak apa, terpulang kepada korang sendiri. 


Kepada yang tengah single tu, rancanglah hari perkahwinan korang sebaiknya. Tak salah nak ikut adat tapi jangan sampai menyiksa diri. Buatlah sekadar yang termampu. Nak buat lebih kena usaha lebih dan jangan sampai berhutang. 


Pada yang dah berkahwin pula, jangan cuba-cuba nak rasa pengalaman lagi sekali tau! Hargailah pasangan korang yang dah susah senang bersama. Semoga kita semua mendapat kebahagiaan yang diimpikan.


Baca juga: Duit Tabung Haji

Baca juga: Selawat ke atas Nabi

Newer Posts Older Posts Home

Hello

Aisya Ismail
“Good things make people feel something.”

Berkongsi perspektif tentang fesyen, penulisan kreatif, gaya hidup, resipi dan pelbagai perkara yang random.

SUBSCRIBE & FOLLOW

POPULAR POSTS

  • Drama Korea : Kingdom Season 1 & 2
  • Akar Villa, Port Dickson: Family Day Untuk 25 Orang
  • BAYARAN PERTAMA DARIPADA GOOGLE ADSENSE
  • CARA DOWNLOAD VIDEO DARIPADA YOUTUBE
  • Misteri Fairy Circles: Fenomena Pelik Di Gurun Namib

Advertisement

Copyright © Aisya Ismail. Designed by OddThemes