Setiap hari bagi semangat pada diri sendiri untuk bersenam agar kekal sihat, setiap kali itu juga kecundang. Buat dua ke tiga kali, tak nak teruskan lagi. Susah betul nak dapat motivasi untuk bersenam ni.
Siapa ada perangai yang macam ni? Ai lah salah seorang darinya. Setiap kali timbang berat, setiap kali tu juga nekad nak bersenam dan setiap kali itu jugalah separuh jalan. Bila difikir-fikirkan semula, Ai bukan malas tapi kurang motivasi untuk bersenam.
Kali ni, Ai akan pastikan impian turunkan berat dan dapat tubuh badan yang sihat dengan konsisten bersenam dan mengamalkan gaya makan yang sihat juga seimbang. Doakan niat murni Ai ni tercapai ok.
Tahu tak, sebenarnya ada cara yang efektif untuk dapatkan motivasi bersenam setiap hari ni. Janganlah asyik bagi alasan untuk nak mengelak dari bersenam. Cuba cara ni!
Baca juga: Rutin pagi untuk kekal produktif
Cara santai dan efektif sentiasa termotivasi untuk bersenam
1. Kenapa nak bersenam?
Cuba korang fikir-fikirkan, kenapa korang nak bersenam? Tetapkan tujuan yang spesifik dan realistik. Kalau setakat hanya nak ikut trend, memang kelaut dalamlah niat korang tu.
Bila dah ada sebab yang munasabah, fokus dengan tujuan korang tu. Mulakan dengan tujuan jangka pendek yang senang korang nak capai dulu. Lepas tu ubahlah kepada tujuan jangka panjang agar usaha korang berterusan.
2. Buat jadual harian
Bila dah ada tujuan, jangan pasang niat dalam kepala je tau. Kita ni manusia biasa, tak adalah hebat mana pun nak ingat semua benda.
Buatlah jadual harian agar lebih mudah mengingati apa yang korang sepatutnya buat setiap hari. Bila lupa, ada tempat untuk buat rujukan. Kan lebih mudah jika begitu.
3. Pilih jenis senaman yang disukai
Ada orang suka olahraga, ada orang suka pergi gym, ada orang suka briskwalk, ada orang suka cuci mata, korang suka senaman yang macam mana? Tak kisah lakukan sendiri atau secara berkumpulan, korang akan lebih seronok lakukan senaman yang korang suka.
Tapi janganlah sampai tak nak mencuba senaman yang baru. Hidup ni kan lebih menyeronokkan dengan kepelbagaian pilihan. Tak gitu?
4. Jangan bersenam seorang diri
Tak semua orang boleh lakukan senaman sendirian. Bak kata pepatah Inggeris yang dah di 'Melayukan', lebih ramai lebih meriah.
Tapi betul, buat senaman secara berkumpulan akan mendatangkan motivasi dalam diri. Kawan-kawan akan jadi orang yang akan paksa kita untuk buat sampai jadi.
Sebab mereka pun suka senaman berkumpulan, kenalah paksa rakan sepasukan untuk bertindak sama. Saling bantu membantu beri semangat.
5. Manfaatkan aplikasi yang ada
Terlalu banyak aplikasi yang boleh dijadikan rujukan. Lebih menyeronokan kalau menggunakan aplikasi yang beri markah atau ada cabaran untuk ke peringkat yang seterusnya. Barulah rasa bersemangat nak ubah rutin yang lebih sihat.
Lama kelamaan, ia dah jadi rutin yang susah nak diubah. Kalau rutin yang baik, apa salahnya untuk kita teruskan. Lebih-lebih lagi pilihan kita adalah sesuatu yang disukai.
6. Beri ganjaran pada diri sendiri
Kalau bukan diri sendiri, siapa lagi yang nak berikan ganjaran menarik pada bila-bila masa yang kita mahukan? Berikan diri korang hadiah tak kira besar atau kecil setiap kali capai rekod yang baru.
Ganjaran ini mungkin seperti makanan kegemaran, baju baru, tiket wayang, alat solek atau apa sahaja yang anda suka dan akan hargai. 'Self reward' kata orang putih.
7. Selalu ingatkan diri tentang manfaat kesihatan dan senaman
Fokus pada manfaat kesihatan yang bakal diperoleh dengan senaman. Antara manfaat yang bakal diperoleh adalah seperti peningkatan tenaga, tidur yang lebih nyenyak, kurang risiko penyakit dan banyak lagi.
8. Jangan terlalu memaksa
Manusia ni ramai yang ego. Lagi dipaksa, lagi banyak alasan. Bila terlalu memaksa diri, korang akan hilang keseronokan dan akan bertangguh. Lama-kelamaan, tujuan asal untuk bersenam hilang begitu sahaja.
Jika penat, berehatlah seketika. Tak lari gunung dikejar, jadi tak payahlah susah payah nak kejar. Buat penat badan je. Bila dah ok, kembalilah habiskan senaman korang yang berbaki lagi tu. Kalau tak larat sangat, sambung ke sesi seterusnya je lah.
Kenapa perlu motivasi untuk bersenam?
Motivasi adalah kunci untuk memastikan kita terus konsisten dalam melakukan sesuatu perkara. Bukan senaman sahaja, tapi dalam semua perkara.
Tanpa adanya motivasi, korang pasti akan cepat bosan dan akhirnya putus asa. Dengan motivasi, senaman akan jadi lebih menyeronokkan dan menjadikan gaya hidup sihat lebih mudah untuk dicapai.