Fesyen: 10 Tip Memilih Pakaian Untuk Nampak Lebih Slim

Nak pakai baju ikut trend fesyen terkini, tapi kenapa tak cantik macam orang lain? Kenapa nampak besar? Lagi kesian yang jenis petite macam Ai ni. Dah lah nampak besar, rendah pula tu. 

Siapa ada masalah yang sama? Stres kan?

Jujur je lah, kita pernah nak atau dah beli baju sebab nampak orang lain pakai cantik dan slim je. Tapi bila cuba baju yang kita suka tu dan berdiri depan cermin, rasa macam kenapa lain bila aku yang pakai? Kenapa tak cantik macam sipolan tu?

Relax, badan anda tak salah. Mungkin pilihan baju tu yang salah. Kalau memang berbadan besar, boleh usaha untuk kuruskan. Sekurang-kurangnya demi menjaga kesihatan yang lebih baik. 

Tapi kalau rendah, macam mana nak tinggi?

Akhirnya beli lah baju baru. Haa, kan dah membazir. Sebenarnya anda kena tahu teknik nak nampak slim dengan pemilihan pakaian yang betul.

Fesyen


Cara Berpakaian Supaya Nampak Lebih Slim

1. Warna gelap sentiasa warna selamat

Fesyen

Ni bukan mitos tau. Warna gelap macam hitam, navy, charcoal grey atau dark maroon memang ada sifat untuk sembunyikan lemak badan yang terkumpul. Ini kerana warna gelap tak reflect pada cahaya yang banyak, jadi bayangan dan tonjolan pada badan kurang nampak.

Tak semestinya dari atas ke bawah kena hitam sepenuhnya. Anda boleh suai padankan dengan warna-warna lain yang sesuai.

Pakai warna gelap di bahagian yang anda rasa kurang berkeyakinan. Contohnya nak tutup bahagian perut yang nampak buncit, pakailah top warna gelap. Kalau nak tutup kaki yang besar, pakailah seluar atau skirt warna gelap.

2. Monokrom buat nampak lebih tinggi & slim

Fesyen monokrom adalah gaya pemakaian yang menggunakan satu rona warna sahaja dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki. Ia sering menggabungkan pelbagai variasi tona bagi warna tersebut seperti warna cerah dan gelap. 

Gaya monokrom yang sangat popular adalah padanan klasik hitam dan putih.

Mudah, tak perlu nak fikir atas pakai warna apa, bawah pakai warna apa. Pakai je satu warna dari atas ke bawah. Tak semestinya hitam putih kehidupan. Anda boleh juga pakai warna karamel, dusty rose, olive green atau kelabu tahi itik pun boleh.

Kenapa berkesan? Sebab bila takde gap warna kat tengah badan, mata orang akan pandang badan anda dari atas ke bawah secara berterusan. Secara tak langsung anda akan nampak lagi panjang dan streamlined. 

Tapi pastikan pilih rekaan yang sesuai dengan bentuk bandan dan jangan pakai ketat sampai lemak susah nak bernafas.

3. Berkawan baik dengan vertical lines

Fesyen

Tak lapuk dek zaman corak jalur ni. Mesti dalam almari baju anda ada juga baju-baju dengan corak jalur kan? Tapi cuba elakkan memakai corak jalur yang melintang. Pilih corak yang menegak untuk dapat efek tinggi dan kurus.

Baju kemeja dengan butang tengah, dress dengan panel menegak atau garisan zip depan jaket, semua ni akan bagi kerja sama yang baik dengan pilihan corak jalur anda.

Tapi sebenarnya, kalau kena dengan rekaan dan padanan pakaian atas dan bawah, melintang atau menegak anda pasti akan nampak kurus dan dapat efek tinggi yang diidamkan.

Pastikan baju anda longgar kerana pilihan pakaian yang mengikut bentuk badan akan membuatkan badan nampak lebih berisi.

4. Fit itu lebih penting dari saiz

Jangan buat kesilapan ni. Ada orang suka pakai baju terlalu ketat untuk nampak sedikit kecil dan seksi. Anda silap kerana memakai baju yang terlalu ketat akan menampakkan bentuk tubuh dan lemak-lemak di badan membuatkan pemilihan pakaian anda nampak 'try hard' tapi tak sesuai. 

Lainlah kalau badan anda dah memang ukuran model. Pakailah apa pun, anda akan nampak cantik. Cumanya kalau anda wanita yang beragama Islam, janganlah pakai ketat-ketat. 

Ada juga orang yang suka pakai pakaian yang terlalu besar sebab nak sorokkan lemak-lemak di badan badan. Ai lah salah seorangnya. Hahaha! Tapi hasilnya? Nampak lagi besar sebab baju tu tak ada bentuk. Kalau memang tujuan nak menjaga aurat, alhamdulillah.

Baju yang tak terlalu ketat dan tak terlalu longgar akan ikut bentuk badan dengan cantik dan nampak kemas di badan. Dia tak melekat dan tak menggelebeh. Tak perlu ketat pun, janji baju tu ada bentuk dan jatuhan yang cantik.

5. Segalanya tentang 'high-waisted'

Fesyen

Seluar, skirt atau jeans yang bercawat tinggi akan naikkan visual 'waistline' anda dan beri ilusi kaki yang lagi panjang dan badan yang lebih seimbang. Padankan dengan tuck-in blouse atau crop top, hasilnya memang da bomb!

6. V-Neck untuk nampak leher panjang & muka tirus

Jenis leher baju pun ada pengaruh besar dalam efek nak nampak slim tu. V-neck dan scoop neck buka ruang di bahagian dada dan leher, bagi ilusi muka dan leher yang lagi panjang dan tirus. Kalau berbadan besar di bahagian atas badan, jauhi turtleneck atau crew neck yang akan potong visual tu.

Beruntunglah wanita yang bertudung sebab boleh skip terus efek leher. Dah tentu-tentu bahagian leher anda tertutup. Tahniah!

7. Elak corak besar di bahagian yang anda nak sorok

Bunga-bunga besar, polka dot besar atau bold prints, semua ni menarik perhatian ke bahagian tersebut. Kalau nak pakai corak, pilih corak yang kecil-kecil. Nampak chic dan tak nampak keterlaluan. 

Tapi pilih corak kecil pun bukan sebarang corak, kena pastikan siluet pakaian tersebuat sesuai dengan ketinggian dan bentuk badan anda.

8. Outerwear boleh buat magic!

Blazer, structured jacket atau coat yang ada bentuk kat bahu dan pinggang boleh tukar bentuk badan anda serta-merta. Ia bagi 'frame' pada badan dan buat posture nampak lebih tegap untuk nampak lagi slim, percayalah!

9. Kasut pun mainkan peranan penting

Fesyen

Nak kaki nampak panjang? Pilih kasut warna nude atau sama warna dengan seluar anda. Ini akan wujudkan flow yang bersambung dari pinggang ke bawah tanpa gangguan visual. Kaki akan nampak lagi panjang dan badan nampak lebih seimbang.

Sebaliknya, ankle strap yang tebal boleh ‘memotong’ garis kaki, sekali gus membuatkan kaki kelihatan lebih pendek.

10. Keyakinan adalah pakaian terbaik

Apa yang penting sebenarnya dalam berfesyen? Confident dik! Tapi keyakinan tu perlu disertakan dengan pemilihan pakaian yang betul, bukannya syok sendiri.

Cara anda berdiri, cara anda berjalan dan cara anda membawa diri, semua tu beri efek macam mana orang pandang. 

Tegakkan bahu anda, angkat sikit kepala dan senyum! Percayalah, itu je dah boleh buat anda nampak 10 kali lebih menarik dari orang yang tak ada keyakinan diri walaupun baju dia setanding Che Ta.

Tak Perlu Ubah Diri, Cuma Gayakan Pakaian Dengan Betul

Fesyen

Bila tengok orang kurus tinggi, mesti nak jadi macam dia. Tak perlu! Kalau gemuk, memang Ai galakkan anda kurus untuk kesihatan yang lebih baik. Tapi kalau dah kurus, bersyukurlah dik. 

Anda tak perlu tukar badan dengan sesiapa pun, cuma perlu tahu cara gayakan badan anda dengan betul. Badan semua orang berbeza, dan cantik tu adalah subjektif. Tapi kalau  nak nampak lagi slim dan letup, cara di atas memang akan banyak membantu anda dalam berfesyen.

Selamat mencuba!

0 orang berborak di sini!

Jangan lupa untuk tinggalkan komen =D