Apa yang menarik di Ipoh? Selain dari pekannya yang masih mengekalkan konsep pekan lama dan estetik, Ipoh banyak lagi tempat-tempat menarik untuk dikunjungi.
Sekali lagi Ai berpeluang untuk berkunjung ke Bandaraya Ipoh. Kalau orang lain, ada yang suka jalan-jalan cari makan. Untuk Ai yang bukan kaki makan ni, paling utama adalah tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi.
Ada yang sama ke?
Baca juga: 11 tarikan di Pasar Seni
Bermalam Di M Boutique Hotel
Kali ini, Ai ke Ipoh untuk memenuhi undangan majlis perkahwinan rakan sekerja. Selalunya malas kalau kena merentas negeri ni, tapi disebabkan Ai memang nak pergi Ipoh, undangan perkahwinan ni memang tepat pada masanya. Dapat pergi satu malam pun dah ok sangat-sangat.
Di Ipoh, Ai memilih untuk menginap di M Boutique Hotel. Penginapan ni Ai dah tempah awal di trip.com, siap ada diskaun banyak waktu tu.
Hotel ni betul-betul berhampiran dengan tempat-tempat wajib pergi di Ipoh. Mudahlah nak keluar masuk hotel, jalan-jalan ke sana sini.
Alhamdulillah hotel cantik, bilik selesa, tilam empuk, bersih dan air di tandas dan bilik mandi laju. Dah penat jalan-jalan, nak mandi tu memang puas hati.
Ada dua benda je yang kurang pada Ai, bilik terlalu kecil untuk harga yang dibayar. Kalau untuk dua orang masih ok, lebih dari tu tak selesa. Dan lagi satu, rekaan tandas ada lubang besar sampai boleh mengintai orang dalam tu. Huhuhu! Tapi baguslah untuk yang ada anak kecil, boleh pantau mereka main air.
Secara keseluruhannya, Ai berpuas hati menginap di M Boutique Hotel. Tidur malam pun nyenyak.
10 Tempat Wajib Pergi Kalau Ke Ipoh
1. Tasik Cermin 1 & 2
Kalau ke Ipoh, memang tak sah kalau tak ke Tasik Cermin. Di situ ada dua tasik dan anda akan jumpa tasik kedua dulu. Tasik Cermin 1 terletak di bahagian atas sedikit dan anda akan melalui terowong untuk sampai ke tasik. Rasa macam nak masuk dunia lain pulak.
Bayaran masuk adalah RM7 untuk dewasa. Kanak-kanak bawah 90cm dan orang kurang upaya adalah percuma.
Masa Ai pergi, terlalu ramai orang. Nak bergambar pun kena cepat-cepat, jadi tak berapa cantik untuk tayangan umum.
Dah alang-alang di situ, Ai pergi juga ke Tasik Cermin 2. Tasik ni lebih kecil dari tasik 1, tapi lebih tenang sebab tak ramai sangat orang. Best untuk yang nak suasana lebih santai.
Kedua-dua tasik ini boleh bersiar-siar dengan menaiki bot dengan harga RM25 seorang dewasa, RM18 untuk kanak-kanak dan warga emas. Sama juga, kanak-kanak bawah 90cm dan orang kurang upaya adalah percuma. Ai pilih untuk naik di tasik 2 sebab route dia akan melalui gua. Seram tapi seronok!
Penat tau nak tour tasik 1 dan 2 sekaligus, belum lagi aktiviti bergambar di kawasan sekitarnya. Lepas selesai, Ai terus menuju ke hotel untuk bersihkan diri dan bersiap untuk keluar semula.
2. Concubine Lane
Destinasi kedua adalah Concubine Lane. Dulu popular restoran Plan B di situ, salah satu restoran kegemaran Ai. Tapi Ai tengok sekarang dah tak hype macam pergi sebelum ni. Atau mungkin kali ni Ai pergi salah masa. Kena pergi lagi sekali ke ni? Jom lah hype kan semula. Huhuhu!
Kalau tanya Ai banyak-banyak tempat di Ipoh, mana yang Ai suka? Jawapan Ai adalah Concubine Lane, sebab dia masih mengekalkan ciri-ciri estetik Bandaraya Ipoh tu sendiri. Pada Ai, itulah menggambarkan Ipoh yang sebenar. Kedai-kedai di kawasan sekitar nampak vintage dan menarik.
Dah ada di Concubine Lane, jangan lupa singgah di Cendol Abang Kacak. Dia pacak satu meja je tepi jalan, tapi cendol dia mantap Pak Abu!
3. Gerbang Malam
Gerbang malam sepi melamar kerinduan, tak terpadam ingatanku terhadapmu π€πΆπ΅ Eh, itu kelam malam bukan gerbang malam.
Sebenarnya Gerbang Malam adalah pasar malam versi hipster sebab dia ada di tengah-tengah Bandaraya Ipoh. Bangunan dan kedai di sekelilingnya memainkan peranan dalam nilai estetik tempat itu sendiri. Cantik untuk jalan-jalan malam sambil mengambil gambar.
Dibuka setiap hari dari pukul 6:00 petang hingga 12:00 malam. Tapi nak cari makanan, bukan di sini. Anda boleh cari di medan selera yang terletak di sebelahnya.
4. The Palmayan Company
Seharian jalan-jalan, tak lapar ke? Jujurnya Ai memang lebih suka melawat kawasan daripada cari makanan viral, melainkan makanan tu kegemaran Ai atau memang nak cuba. Makan di gerai tepi jalan pun Ai ok, asalkan tempat tu nampak bersih lah.
Pada mulanya Ai bercadang nak makan di medan selera, tapi tu perancangan awal je. Secara tak sengaja ternampak The Palmayan Company, sebuah restoran yang mengetengahkan cita rasa Malaysia dalam suasana yang selesa.
Rekaan dalamannya yang berwarna biru dan vibe lain dari lain di situ sangat menarik perhatian. Apa salahnya mencuba benda baru, dan cubaan itu sangat berbaloi. Harap kualiti dan harga dia kekal sampai bila-bila.
5. Dataran Majlis Bandaraya Ipoh
Kalau nak vibe santai waktu malam, datanglah ke Dataran Majlis Bandaraya Ipoh. Ada banyak deretan gerai makanan di sepanjang dataran.
Sambil-sambil tu boleh bawa anak-anak beriadah di tengah padang. Kalau berbuka puasa, mesti seronok ni.
6. Memory Lane: Antik, Unik, Klasik
Ipoh sangat terkenal dengan pasar karat yang menjual barangan lama atau antik. Nak apa? Insya-Allah ada dijual. Paling banyak Ai nampak adalah duit-duit lama, sampai Ai terfikir, adakah duit yang dijual ni duit betul atau hanya sekadar replika. Ai malas nak tanya, nasib tak sesat jalan.
Memory Lane ni dibuka pada hari Ahad dari jam 6:00 pagi hingga 12:00 tengahari sahaja, jangan cari waktu lain pula.
7. Greentown Dim Sum
Keesokan paginya, selepas selesai cuci-cuci mata di Memory Lane, perut ni dah meminta-minta Dim Sum. Teringat sarapan Dim Sum di Hatyai. Ahhh... rindu. Di Ipoh pun ada juga, tapi tak boleh lawan murah di Hatyai.
Ada dua tempat sarapan Dim Sum popular di Ipoh iaitu Greentown Dim Sum dan Canning Dim Sum. Pilihan Ai, Greentown Dim Sum tanpa sebab masa Ai buat research, ini yang selalu muncul.
Paling sedap di sini pada Ai adalah Juicy Bun. Rasa telur masi dan butter dia, pergh merecik. Tiga ketul tak cukup nak kongsi dua orang!
8. Taman Rekreasi Gunung Lang
Wajib pergi! Tapi untuk trip kali ni, Ai skip Taman Rekriasi Gunung Lang. Nak datang ke sini kena luangkan sekurang-kurangnya setengah hari. Memandangkan Ai dah pernah pergi sebelum ni, jadi Ai pilih untuk ke Tasik Cermin kerana ini pertama kali Ai pergi.
9. My Gopeng Hygrow Farm Village
Tempat seterusnya bukan lagi dalam Ipoh tapi berhampiran. Anda wajib pergi sekurang-kurangnya sekali.
Dalam perjalanan pulang ke Lembah Klang, Ai sempat singgah di My Gopeng Hygrow Farm Ville yang terletak di RTC Gopeng. Masuk adalah percuma! Tapi ada bahagian tempat main kanak-kanak kena bayar.
Apa yang menarik adalah, terdapat taman bunga dan ruang ootd, kebun hidroponik dan suasana yang santai. Ai suka sangat rekaan hiasan ala-ala dalam taman ni. Ada rezeki nanti, nak buat kat rumah sendiri.
10. R&R Tapah Arah Selatan
Dari Ipoh ke Klang Valley, jangan lupa berhenti rehat di R&R Tapah. Tak jauh pun dari Ipoh. Vibe R&R Tapah Arah Selatan, lain macam meriah dia. Macam-macam ada! Paling best, Ai dapat cari buah ciku segar, sedap dan besar.
Jom Bercuti Di Ipoh
Oh ya! Selain 10 tempat ni, anda boleh juga masukkan Kellie's Castle dan Taman Jepun dalam senarai tempat wajib pergi di Ipoh. Ai tak masukkan dalam senarai Ai sebab tak pernah pergi lagi.
Ipoh adalah sebuah bandaraya yang sangat estetik dan popular selain Pulau Pinang. Pada Ai, berbaloi-baloi pengalaman jalan-jalan di Ipoh kali ini.
Kalau ada masa dan tenaga lebih, bolehlah lajak ke Cameron Highlands untuk petik buah strawberry.
Anda dah sampai Ipoh? Mana tempat yang anda suka atau teringin nak pergi?


0 orang berborak di sini!
Jangan lupa untuk tinggalkan komen =D