Bendera Malaysia - Sejarah Awal Dan Maksud Tersirat

Tuesday 1 August 2023

Bendera Malaysia - Sejarah Awal Dan Maksud Tersirat


Hari ini dah masuk ke bulan Ogos, bulan di mana Malaysia telah mencapai kemerdekaan. Bulan yang paling meriah dengan bendera Malaysia yang dipasang di hadapan rumah, di kenderaan, pejabat malah di mana-mana sahaja. 


Tak sabar nak tunggu kemeriahan 31 Ogos yang bakal menyaksikan ramai orang konvoi di jalan raya sambil kibarkan bendera Malaysia. Seronok kibarkan bendera Malaysia, korang tahu tak sejarah di sebalik bendera ni? Haaa... kalau tak tahu, meh Ai nak bagitau. Yang dah tahu pun kena baca juga tau.


Baca juga: Taman Lembah Bukit SUK, Shah Alam


Bendera Malaysia


Sejarah awal bendera Malaysia

Pada abad ke-17, kerajaan Melayu sudah pun menggunakan bendera dengan berlatarkan warna putih di setiap negeri. Macam cerita Nujum Pak Belalang lah, tapi dalam cerita itu hanyalah bendera rekaan sahaja. Setelah penjajahan British di Tanah Melayu, mereka telah menasihati untuk ubah bendera agar berbeza di setiap negeri. Kesemua negeri menerima nasihat itu kecuali Terengganu yang mengekalkan bendera putih sehingga tahun 1925.


Baca juga: Pasar Payang Terengganu


Jalur Gemilang, bendera Malaysia

Pada tahun 1949, Majlis Raja-Raja telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa berhubung reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pada tahun tersebut, satu pertandingan yang dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan telah diadakan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. 


Pertandingan ini mendapat 373 penyertaan dari karyawan seluruh negara dan tiga rekabentuk bendera telah berjaya ke peringkat akhir. Orang ramai diberi peluang untuk menilai dan memberi pendapat untuk ketiga-tiga bendera tersebut dan majoriti telah memilih rekaan bendera ketiga ciptaan Mohamed bin Hamzah, seorang arkitek kerajaan dari Johor. 


Reka bentuk awal menampilkan kacukan bendera negeri kelahiran Mohamed iaitu Johor dan bendera Kerajaan Majapahit dengan sebelas jalur biru dan putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri di dalam pepenjuru bewarna merah. Walau bagaimanapun rekaan ini perlu diubah suai bagi mendapatkan rekaan yang lebih padu. 


Setelah mendapat kata sepakat dan membuat pengubahsuaian rekaan bendera, reka bentuk tesebut telah dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara dan diteliti semula pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950 dan telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 19 April 1950. 


Pertama kali bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor setelah mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Majlis ini telah dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai Raja George VI.


Bendera Malaysia


Pembetukan Malaysia

Bendera Persekutuan Tanah Melayu sekali lagi diubah suai kerana pencantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu, Malaysia. Dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan bahawa reka bentuk bendera Malaysia adalah sama dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Ini telah dipersetujui oleh Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam persidangan tersebut. Walaupun Singapura telah keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, rekaan bendera ini dikekalkan.


Sejarah nama Jalur Gemilang

Bendera Malaysia kekal dengan namanya selama 47 tahun dan telah ditukar kepada Jalur Gemilang pada tahun 1997 bersamaan kemerdekaan ke-40 negara Malaysia. Nama Jalur Gemilang telah diusulkan oleh Redzuan Tamin, pegawai dari Jabatan Negara dan Antikuiti dalam satu peraduan dan berjaya menewaskan 28 cadangan lain seperti Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.


Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang telah diusulkan oleh Datuk Hashim Mat Dris pada 11 Julai 1995 yang telah dikemukakan kepada Tun Mahathir, Perdana Menteri pada ketika itu. Pada 1 Julai 1996, 75 cadangan nama beserta ulasan dan huraian telah dikemukakan dan tiga nama telah disenarai pendek iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara yang akhirnya ditolak oleh Jemaah Menteri dalam satu mesyuarat pada 11 September 1996. 


28 nama lain telah dicadangkan pada 2 Jun 1997 dan tiga nama yang disenarai pendek adalah Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang. Nama Jalur Gemilang telah dipilih bagi menggantikan Bendera Malaysia. Peinsytiharan nama Jalur Gemilang telah dilakukan pada jam 11:58, 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Negara yang ke-40. Pengisytiharan ini telah dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad.


Jalur Gemilang bukan sekadar nama sahaja, ia mempunyai maksudnya yang terperinci.


Jalur

Menggambarkan bendera yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Lambang jalur pada bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus dan hala tuju yang sama semua negeri dalam Malaysia menuju kegemilangan bangsa dan negara.

Gemilang

Membawa maksud bercahaya, terang-benderang serta cemerlang. Oleh itu Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi kehidupan di dalam dan luar negara. Rakyat juga bersungguh-sungguh, gigih dan sanggup untuk menaikkan imej negara dan sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.


Bendera Malaysia


Undang-undang terkait

Jangan sesekali menghina bendera Malaysia kerana bendera Malaysia adalah tertakluk kepada Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963. Menghina bendera dari segi percakapan mahupun perbuatan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. Sebelum nak buat sesuatu tu, fikirkan dulu nasib di kemudian hari. Jangan ikutkan hati nanti binasa.


Maksud di sebalik bendera Malaysia

Rekaan dan corak

1. 14 jalur melintang merah dan putih melambangkan gabungan 13 negeri dan 1 Wilayah Persekutuan yang bernaung di bawah satu Malaysia.

2. Bintang pecah 14 menunjukkan perpaduan kesemua negeri dan Wilayah Persekutuan.

3. Bulan sabit melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia.


Warna

1. Putih melambangkan kesucian

2. Biru melambangkan perpaduan rakyat yang berbilang bangsa

3. Kuning melambangkan kedaulatan Raja Berperlembagaan

4. Merah melambangkan keberanian dan kesediaan untuk menghadapi rintangan.


Lirik lagu Jalur Gemilang


Ramai orang tak tahu Jalur Gemilang ada lagunya yang tersendiri. Lagu ini akan kerap didengari pada bulan Ogos sempena bulan kemerdekaan negara Malaysia. Namun begitu, sebelum nama bendera Malaysia digantikan kepada Jalur Gemilang, ada sebuah lagu yang dicipta khas untuk bendera Malaysia yang Bendera Malaysia atau juga Benderaku ciptaan Tony Fonseka. Lagu Jalur Gemilang telah dilancarkan pada 9 Ogos 2023. Ada yang tak pernah dengar lagu-lagu ni? Korang pasti ke korang tak pernah dengar? Pergi cari lagu ni cepat!


Lirik lagu Benderaku

Benderaku yang gagah perkasa

Merah putih kuning biru warnanya

Pusaka kita rakyat Malaysa

Bendera Malaysia oh benderaku

Ku pertahankan sepenuh ragaku

Dikaulah lambang negara berpadu

Di bawah naungan Duli Tuanku 

Beribar terus oh benderaku

Kau kan ku junjung sepanjang waktu

Harumlah nama negara yang tercinta

Padamu tempat taat dan setia

Bendera Malaysia bendera kita

Kemegahan rakyat kita semua

Berkibar berkibar di ruang angkasa

Dirgahayu bendera tercinta


Lirik lagu Jalur Gemilang

Merahmu bara semnagat waja

Putihmu bersih budi peerti

Kuning berdaulat paung negara

Biru perpaduan kami semua


Puncak dunia telah kau tawan

Lautan luas telah kau redah

Membawa semangat jiwa merdeka

Semangat jaya kami warganya


Empat belas melintang jalurnya

Semua negeri dalam Malaysia

Satu suara satu semangat

Itu sumpah warga berdaulat


Jalur Gemilang di bawah naunganmu

Jalur Gemilang kami semua bersatu

Perpaduan Ketaatan

Amalan murni rakyat Malaysia

Jalur Gemilang megah kami terasa

Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan

Merah, putih, biru, kuning

Jalur semangat kami semua


Berkibarlah, berkibarah, berkibarlah

Jalur Gemilang!


Bendera Malaysia


Bendera Malaysia mencerminkan semangat perpaduan, keagamaan dan semangat keadilan seluruh rakyat Malaysia dan menggambarkan bangsa yang majmuk. Bersempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita beramai-ramai kibarkan Jalur Gemilang. Semoga negara Malaysia terus aman dan makmur sentiasa. Aamiin!


Baca juga: IKEA Damansara

4 comments:

Janga lupa untuk tinggalkan komen =D