Macam tak percaya je, Ai dengan Coco dapat beli rumah pertama kami di usia... Alhamdulillah syukur sangat. Sampai tak tahu macam mana nak gambarkan kegembiraan ni.
Kalau nak ikutkan, ini adalah rumah kedua. Sebelum ni kami pernah beli rumah pertama di suatu kawasan yang laris kalau nak disewakan. Tapi rumah atas lah. Kalau korang dah lama jadi pengikut blog Ai ni, korang mesti tahu selama ni Ai duduk di rumah mentua.
Jadi, rumah pertama kami waktu tu disewakan kepada orang lain yang memerlukan. Ada yang bekerja dan ada juga pelajar. Penyewa kami silih berganti sampailah kami buat keputusan nak duduk sendiri. Nak berdikari lah kononnya.
Untuk orang yang biasa-biasa macam kami ni, memang banyak faktor yang nak kena fikir sedalam-dalamnya sebelum buat keputusan. Orang kata kalau korek tanah, dah sampai kerak bumilah. Itupun belum tentu lagi keputusan yang kami buat betul.
Selepas dipertimbangkan, ada beberapa faktor yang buatkan kami nak jual rumah atas dan beli rumah bawah pula.
Kenapa tak bayar je untuk dua-dua rumah? Nak tu memanglah nak. Tapi macam Ai cakap tadi, kami ni orang biasa-biasa je. Dari bayar untuk dua rumah, baik beli satu rumah yang kami puas hati untuk duduk.
Baca juga: Manjakan diri di rumah
Pengalaman beli rumah pertama
Selepas buat keputusan nak beli rumah pertama, kami memang rajin gila pergi showroom. Pantang ada iklan di sosial media, kami isi dan pergi tengok. Rumah atas, bawah, kecil, besar, semua kami terjah je. Mampu ke tidak, belakang cerita.
Mula-mula, kami tersuka rumah di Cyberjaya. Rumah-rumah di Cyberjaya ni semua cantik-cantik. Siap ada taman, securiti, rekaan letop, macam-macam semua lengkaplah. Tapi ukur baju di badan sendiri. Kita cari yang mampu je.
Cari punya cari, kami berkenan dengan sebuah rumah apartmen di Cyberjaya. Memang luas rumah dia, harga pun mampu milik. Rumah bawah sekali siap ada halaman rumah dan parkir betul-betul depan rumah. Ala-ala rumah teres satu tingkat.
Barang baik ni selalunya ramai yang nak. Kami boleh letak deposit, tapi kena masuk dalam senarai menunggu. Yang menunggu pun dah ramai, jadi kami kena harapkan keajaiban untuk dapatkan rumah tu.
Ai pun berbincang hati ke hati dengan Coco sebab hati memang nak sangat rumah tu. Bila dah capai kata sepakat nak bayar deposit, agen kata dah ramai sangat dalam senarai menunggu. Kalau betul-betul ada rezeki, dia akan hubungi kami semula.
Tak ada rezeki lah tu, sampai sekarang senyap je. Kecewa, sebab tu rumah pertama yang kami berkenan. Tapi kami tak tunggu pun, terus cari rumah lain. Hidup ni jangan buang masa, rugi.
Kali ni, kami dapat rumah Idaman BSP. Alaa... yang sebelah Lebuhraya Elite tu. Yang viral taman permainan jauh gila tu.
Rumah Idaman BSP masih ada beberapa unit rumah yang masih kosong. Kami bayar deposit RM200 dan tunggu bank luluskan pinjaman. Kitanya belum jadi jutawan nak beli rumah secara tunai.
Tunggu punya tunggu, Ai ternampak iklan rumah di Facebook. Menarik, rumah teres satu tingkat. Lepas melawat kawasan, kami suka dan capai kata sepakat untuk beli rumah tu. Kali ni kami kena banyar deposit RM500 dan tunggu pinjaman diluluskan.
Dalam masa yang sama, kami masih lagi mencari rumah yang lain. Selagi hati tak tenang, tu maknanya belum puas hati lagi.
Kebetulan tak jauh dari situ ada perumahan baru. Kebetulan ada beberapa buah rumah yang belum berpenghuni. Siap ada nombor telefon agen. Hasil kerajinan Ai nak Whatsapp agen ni, dia bagitahu kawasan perumahan tu dah penuh. Tapi dia suruh kami tengok kawasan perumahan lain, tak jauh dari situ.
Ok, kami pun pergilah. Dan, kami suka walaupun rekaannya tak secantik rumah yang kami tengok tadi. Rumah pun dah 70% siap. Jumpa agen, pilih unit rumah, terus bayar deposit RM500.
Alhamdulillah sekarang rumah kami dah siap sepenuhnya! Jiran pun dah ramai berpindah ke situ.
Rumah pertama tadi kami dah berjaya jual dalam proses mencari rumah lain. Rezeki kami, tak susah nak jual atas bantuan Puan Faezah, agen hartanah. Secara automatik, rumah kedua kami menjadi rumah pertama.
Rezeki kami juga, dapat semua agen rumah yang baik-baik. Nak dapatkan semula deposit yang dah dibayar untuk rumah-rumah sebelum ni pun tak susah.
Kenapa tak beli rumah subsale?
Dalam pencarian rumah pertama kami, rumah subsale pun jadi pilihan juga. Kononnya nak duduk dekat dengan keluarga mentua. Tapi tak mudah ya nak dapat rumah subsale yang kami suka dan dalam kemampuan kami. Tambah, tolak, bahagi, darab, lagi mahal dari rumah baru. Mungkin sebab kawasan yang kami pilih.
5 perkara kena bersedia bila beli rumah pertama
1. Kewangan
Paling penting, bersedia dari segi kewangan. Memang seronok nak beli rumah, tapi kalau tak ada duit tak jadi apa tau. Mana boleh beli dengan daun. Kalau boleh, Ai dah beli banglo tiga tingkat. Nampak tak, tak sedar diri? Hahaha!
Ada 3 peringkat kewangan korang kena bersedia. Macam Ai, terlupa peringkat kedua. Memang jenuh nak kumpul duit penuhkan tabung.
Semasa nak beli rumah: Mestilah kena ada duit. Nak bayar deposit, peguam, bayar tu, bayar ni, tak ada duit memang tak jadi apa.
Bila rumah dah siap: Bukan boleh terus duduk tau. Nak kena check defect, ubah suai, beli barang rumah dan barang dapur, perabot, itu ini dan macam-macam lagi lah.
Bila dah duduk: Lagi banyak duit diperlukan. Setiap bulan nak kena bayar duit rumah, tapi masa rumah dah siap memang dah kena bayar. Sekarang tambah lagi bayar bil api, air, wifi, coway, maintenance, itu ini. Tak murah ya nak maintain rumah. Jom lah penuhkan balik tabung tu.
2. Buat research tentang rumah pertama
Selain kewangan, ilmu pengetahuan pun sangat penting. Kalau tak boleh nak proses macam-macam, yang asas pun dah cukup. Paling penting, tak sombong. Kalau tak tahu, tanyalah.
Kena tahu lokasi yang korang pilih tu ok ke, berbaloi ke atau apa yang perlu dan tak perlu untuk beli rumah? Nak pilih jiran memang tak boleh, sebab mana kita nak tahu siapa yang bakal jadi jiran kita. Tapi kalau dapat jiran yang baik, itu rezeki. Tak gitu? Jadi, kaji lah apa yang korang boleh kaji sahaja..
3. Idea ubah suai rumah
Dah alang-alang buat kajian tu, carilah idea untuk ubah suai rumah korang sekali. Pertama kali nak duduk rumah sendiri ni, mesti banyak idea dekorasi yang korang impikan. Lebih-lebih lagi sekarang dah banyak diy di media sosial.
Tapi ingat macam yang Ai cakap tadi, ukur baju di badan sendiri. Kalau belum mampu nak ubah suai, tak apa. Rumah biasa-biasa pun dah boleh duduk. Yang penting korang selesa.
Korang belilah dulu keperluan asas macam lampu, kipas, dapur masak, langsir dan lain-lain keperluan. Jangan ikutkan sangat nafsu ubah suai jiran-jiran. Takut korang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sebab nak bayar hutang punya pasal. Kalau dah tak terkais, kan susah.
Lepas tu korang kumpul lah duit sikit-sikit, lama-lama jadilah bukit. Bila ada rezeki lebih, jadilah gunung. Haaa... waktu tu lah korang boleh all out ubah suai rumah ikut selera dan keinginan korang. Kalau nak buat sikit-sikit pun tak ada masalah.
4. Kontraktor scammer!
Jaga-jaga tau, di luar sana ramai scammer. Ramai orang nampak baik, tapi hanya bertopengkan manusia. Kontraktor pun ada yang scam orang! Ambil kesempatan di atas keterujaan orang lain nak ubah suai rumah. Dah lah banyak nak pakai duit, kau scam pulak orang tu. Jahat gila!
Ya, Ai bercakap tentang pengalaman sendiri. Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan Ai dan Coco selepas kena scam tu. Kami dapat kontraktor yang baik-baik, tapi keterujaan tu dah tak sama. Duit pun dah banyak habis!
Ai jadikan ini pengalaman untuk belajar dari kesilapan. Pesanan Ai, kalau korang nak pilih kontraktor tu, pilih lah yang dah nampak hasilnya dari orang yang korang kenal. Jangan jadi macam Ai, ok?
5. Bersabar dengan mulut orang
Nampak macam remeh, tapi korang memang kena sangat-sangat bersedia. Ada je mulut-mulut yang akan berkata-kata nanti.
Deko tak cantiklah, design tak eloklah, rumah kecil, warna cerah, gelap, sofa keras, dapur buruk, eh macam-macam lah. Kita ni dah hampir habis duit beli dan deko rumah, mestilah nak ikut selera sendiri. Takkan nak ikut selera orang pula. Kita yang duduk dalam rumah ni, tapi dia judge macam tak ada hari esok pula.
Tapi itu pendapat masing-masing, kita raikanlah setiap pendapat. Jangan gaduh-gaduh sampai masam muka, ok? Korang bersedia mental je, lama-lama diam lah tu. Orang tua-tua kata, tak kenal maka tak cinta. Silap hari bulan, rumah kita jadi tempat lepak dia.
Rumah pertama, rumah impian
Pengalaman nak beli rumah pertama ni, tak mudah untuk orang dengan tahap kewangan yang biasa-biasa macam Ai ni. Nak yang terbaik, kami terpaksa korbankan yang kurang baik.
Tapi Ai ok je. Alhamdulillah dah selesai ubah suai, cuci rumah dan masuk perabot. Segalanya dipermudahkan Allah SWT. Kami pun dah berpindah masuk. Ai memang syukur sangat.
Perasaan gembira tu memang tak terkata. Walaupun ada tempat yang Ai nak ubah suai tak dapat, tak apa. Kami kumpul balik duit untuk bina rumah idaman kami sikit demi sikit. Insya-Allah.
Entri ni dari pengalaman Ai sendiri. Ada benda yang baik, ada yang buruk, Ai kongsikan kat sini. Harap sedikit sebanyak membantu korang yang tengah nak cari rumah pertama.
No comments:
Post a Comment
Janga lupa untuk tinggalkan komen =D