Ubat Sakit Gigi: Punca Sakit Gigi dan 7 Langkah Hilangkan Rasa Sakit

Thursday 24 August 2023

Ubat Sakit Gigi: Punca Sakit Gigi dan 7 Langkah Hilangkan Rasa Sakit


Pernah tak korang hadapi situasi di mana tengah rileks-rileks, tiba-tiba sakit gigi? Masa tu kalau orang cadangkan ubat sakit gigi apa sekali pun, mesti ok je untuk cuba. Lebih-lebih lagi yang sejenis takut nak jumpa doktor gigi macam Ai ni. Apa entah yang ditakutkan sangat. 


Tapi tu lah, mungkin sejarah doktor gigi yang garang masa sekolah dulu buatkan Ai takut nak jumpa doktor gigi sampai sekarang. Atau mungkin juga Ai ni sejenis yang suka fikir melebih-lebih, takut dia cabut semua gigi Ai. Manalah tahu kan, doktor pun manusia juga yang buat kesilapan. Tapi korang jangan overthinking pula macam Ai tau. Doktor takkan cabut gigi korang tanpa pengetahuan korang.


Baca juga: Berjaya cabut gigi


Ubat sakit gigi


Apakah tanda sakit gigi?

Sakit gigi ni adalah sakit yang korang rasakan di sekitar gigi, gusi atau rahang. Kalau dah kena sakit gigi, tidur malam pun boleh terjaga. Orang cadangkan ubat sakit gigi apa pun sanggup telan. Sampai satu tahap, orang yang takut doktor gigi macam Ai pun sanggup serah diri pada doktor sebab dah tak tahan kesakitan. 


Sakit gigi akibat kerosakan gigi boleh menjadi teruk jika tidak dirawat dan ia boleh menjadi tanda kepada keadaan yang lebih serius. Jika tidak mendapatkan rawatan sama ada secara tradisional atau moden, ia boleh berlanjutan uutuk satu jangka masa yang panjang.


Punca-punca berlaku sakit gigi

Punca utama sakit gigi adalah disebabkan kerosakan gigi. Ia berlaku pada orang dewasa mahupun kanak-kanak. Kandungan gula dan kanji dalam makanan adalah faktor utama bakteria membiak di mulut yang mengakibatkan pembentukan plak melekit yang melekat pada permukaan gigi korang. Seterusnya menghasilkan rongga gigi yang menipiskan dan menebuk salutan yang keras di luar gigi yang dipanggil karies gigi. Punca-punca lain sakit gigi adalah seperti berikut.


1. Gigi berlubang

2. Pengumpulan makanan di celah gigi

3. Jangkitan pada akar gigi atau gusi

4. Gigi atau akar gigi patah

5. Gigi retak

6. Gigi tumbuh keluar dari gusi

7. Jangkitan sinus atau gigi bernanah

8. Penyakit keradangan gusi

9. Gigi sensitif

10. Gigi tersepit seperti tumbuh berlapis atau gigi bongsu yang tumbuh senget

11. Sakit sendi rahang


Ubat sakit gigi


Ia juga boleh berlaku disebabkan penyakit-penyakit lain seperti resdung atau sinus tersumbat, penyakit jantung atau kanser paru-paru dan neuralgia trigeminal. Ini korang boleh rujuk pada yang pakar ya sebab Ai bukan pakar gigi nak ulas tentang penyakit-penyakit yang berbahaya. Ai hanya ulas berdasarkan pengalaman dan rujukan doktor gigi sahaja.


Bagaimana boleh berlaku gigi berlubang?

Masalah pertama gigi Ai memerlukan rawatan doktor gigi sewaktu zaman sekolah dulu adalah gigi berlubang atau masalah kaviti. Ia merupakan pembetukan lubang pada gigi yang berpunca daripada masalah gigi reput. Gigi berlubang berlaku apabila asid dalam mulut menghakis lapisan enamel pada gigi. Apabila lapisan enamel semakin nipis, maka kaviti akan terbentuk. 


Risiko gigi berlubang ni boleh terjadi pada semua orang. Jika gigi dah berlubang, tak ada ubat sakit gigi yang boleh bantu melainkan tampal gigi. Tampal gigi kenalah berjumpa dengan doktor gigi. Jangan jadi doktor sendiri pula ya. 


Gigi berlubang sebenarnya bermula daripada plak atau lapisan yang terlekat pada gigi hasil pengumpulan sisa makanan serta air liur. Asyik makan minum tapi jarang membersihkan mulut, inilah peluang plak terbentuk pada gigi korang dan boleh menjadi habitat bakteria untuk membiak. Selain ini, banyak lagi faktor lain yang menyebabkan gigi berlubang. Elakkan tabiat ini agar gigi korang tak berlubang.


Jarang gosok gigi

Doktor dan pakar gigi menyarankan untuk gosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu di waktu pagi dan malam untuk mengelakan pembentukan plak atau bau mulut yang busuk. Jangan gosok gigi terlalu kuat atau laju kerana ia boleh merosakkan lapisan enamel.


Tidak flos gigi

Aduhhh! Apa pula flos gigi ni? Flos gigi adalah membersihkan celah gigi korang. Gosok je tak cukup untuk membersihkan gigi terutama pada celah-celah gigi. Kalau gosok gigi pun malas, apatah lagi flos gigi. Lepas ni dah boleh amalkan. Tapi jangan terlalu laju dan kuat kerana ia boleh melukakan gusi.


Ubat sakit gigi


Mulut kering

Air liur yang tidak cukup dalam mulut menyebabkan kawasan dalam oral kurang kelembapan semula jadi yang mengakibatkan bakteria dalam mulut membiak. Ini juga boleh menyebabkan masalah lain seperti ulser, bau mulut, gigi sensitif, gusi lembut dan lain-lain masalah gigi dan mulut.


Makanan manis

Makanan dan minuman yang manis menggalakkan pertumbuhan bakteria yang sedia ada dan mengakibatkan lebih banyak plak muncul pada sekitar gigi. Makanan dan minuman manis itu sendiri akan mengakibatkan rasa sakit apabila ia terkena pada lubang tersebut. Bukan tak boleh makan ya, tapi korang makanlah berpada-pada dan jangan lupa bersihkan gigi selepas makan.


Makanan masam

Siapa yang suka makanan atau minuman yang masam, ianya boleh menyebabkan pengurangan mineral dalam gigi yang menjadi punca kaviti. Seperti makanan yang manis, korang perlu berpada-pada juga mengambil makanan yang masam termasuk penggunaan ubat gigi.


Ubat sakit gigi tanpa makan ubat

Mesti ramai orang berharap ada ubat sakit gigi supaya tak perlu berjumpa dengan doktor gigi. Siapa macam ni? Ai lah tu salah seorang daripadanya. Selagi boleh elak, Ai akan elak untuk berjumpa doktor gigi. Jangan amalkan tau. Takut luruh awal pula gigi korang nanti tak sempat tua. Untuk hilangkan sakit gigi sementara, korang boleh cuba 7 cara ini.


Ubat sakit gigi


1. Kumur dengan air garam

Kalau mengeluh sakit gigi, mesti akan ada orang yang cadangkan untuk berkumur dengan air garam. Cara ni memang sangat popular dan Ai memang praktis kumur air garam setiap kali rasa sakit pada gigi. 


Air garam mempunyai sifat anti bakteria semula jadi dan merupakan medium yang mengeluarkan sisa makanan di celahan gigi. Tujuannya adalah untuk mengurangkan proses dan keradangan serta mempercepatkan penyembuhan luka pada ruang orang. 


Kaedah ni bukan sekali kumur dah hilang sakit gigi tau, ia perlu dilakukan berulang kali. Dan sakit gigi akan hilang sementara sahaja bukan selamanya. Tapi, kumur air garam juga boleh menghakis gigi korang. 


2. Tuam bahagian sakit dengan kain sejuk atau ais

Kaedah ini menyebabkan salur darah pada kawasan yang terlibat mengecut lalu mengurangkan rasa sakit tersebut. Mudah je, tuamkan kain sejuk atau ais di kawasan yang sakit selama 20 minit atau lebih pun tak apa. Tapi jangan tuam sambil tidur, basah pula tempat tidur korang nanti.


3. Uncang teh pudina

Nak kena minum teh ke untuk hilangkan sakit gigi? Bukan... bukan... Ambil uncang teh pudina yang suam dan tuamkan pada kawasan yang sakit. Kalau selesa uncang teh sejuk, pun boleh juga. Letakkan uncang teh tersebut selama beberapa minit sebelum dituam pada tempat yang sakit. Cara ini sesuai kepada mereka yang mempunyai gigi yang sensitif.

Ubat sakit gigi


4. Bawang putih

Baunya saja dah buat Ai tolak ke tepi. Tapi bawang putih diketahui sangat banyak manfaatnya sejak berkurun lama termasuk untuk atasi sakit gigi. Khasiatnya juga disokong oleh kajian sains moden. Bawang putih bagus kerana mempunyai sifat antibakteria yang bagus dan boleh mengelakkan pembentukan plak gigi. 


Caranya mudah saja, tumbuk bawang putih dan campurkan dengan sedikit garam. Kemudian sapukan pada kawasan yang sakit. Nak lebih ekstrem, kunyah bawang putih mentah-mentah. Ada berani ke?


5. Kumur mulut dengan hidrogen peroksida atau ubat kumur

Ia memberikan kelegaan daripada sakit gigi, mengurangkan keradangan, menghalang pembentukan plak dan menyembuhkan pendarahan gusi. Tak susah nak cari, farmasi atau kedai-kedai serta pasaraya ada jual ubat kumur ni. 


Kebanyakan produk kumur mulut di pasaran mempunyai kandungan hidrogen peroksida pada kepekatan yang rendah dan boleh terus digunakan. Pastikan anda campur dengan air jika produk tersebut mengandungi hidrogen peroksida yang pekat. Jangan telan! Buang selepas berkumur.


6. Daun herba, thyme

Biasanya daun ini digunakan di dalam masakan, akan tetapi ianya juga boleh digunakan untuk sembuhkan sakit gigi. Daun thyme juga mempunyai sifat antioksida dan antibakteria yang kuat. Ia biasa dijual dalam bentuk minyak pati dan boleh digunakan sebagai pengkumur mulut atau ubat sapu. Campurkan dulu minyak daun thyme dengan segelas air sebelum menggunakannya sebagai pengkumur mulut.


7. Bunga cengkih

Satu lagi ubat sakit gigi yang popular adalah bunga cengkih yang merupakan rempah ratus penambah kesedapan lauk pauk tradisional maupun moden serta digunakan di dalam perubatan tradisional. Ia mengandungi bahan antiseptik semula jadi yang dikenali sebagai eugenol yang membuatkan bunga cengkih berkesan dalam merawat sakit gigi dan radang mulut. 


Minyak bunga cengkih boleh digunakan sebagai pengkumur mulut. Tapi jangan lupa campurkan dengan segelas air untuk membunuh bakteria dan melegakan kesakitan pada gigi. Untuk masalah gigi berlubang pula, tumbuk bunga cengkih sehingga lumat kemudian letakkan pada gigi yang berlubang. 


Ubat sakit gigi yang boleh dapat di farmasi


Ubat sakit gigi

Paracetamol

Kalau pergi klinik kerana masalah sakit gigi, selalunya doktor akan berikan paracetamol untuk melegakan sakit gigi sementara. Tak mujarab untuk semua orang tapi untuk Ai memang mujarab untuk jangka pendek. Lepas tu sakit balik. Tak kan nak bergantung pada ubat je kan, lama-lama dapat sakit lain pula. 


Hurix's Kapsul Sakit Gigi & Sakit Kepala (Ekstrak)

Digunakan secara tradisional untuk melegakan sakit gigi, bengkak akibat sakit gigi dan sakit kepala. Inipun Ai pernah amalkan dan memang mujarab. Tapi sampai satu tahap, dah tak berkesan pada kesakitan gigi yang Ai alami. Mungkin ubat sakit gigi ni dah kebal untuk Ai. Korang boleh cuba.


Baca juga: Ubat buasir


Dapatkan rawatan doktor gigi

Untuk kelegaan sementara, korang boleh cuba 7 langkah di atas. Tapi untuk kelegaan jangka panjang, pergi lah berjumpa dengan doktor gigi. Kalau tak mampu nak pergi ke klinik swasta, klinik kerajaan ada menyediakan perkhidmatan pergigian. Nak dengan tak nak je. 


Kalau sakit gigi jangan ambil mudah ya, korang kena dapatkan khidmat konsultasi dan juga rawatan. Doktor gigi adalah ubat sakit gigi yang paling mujarab. Jangan bertangguh untuk dapatkan rawatan kerana sakit gigi yang kecil boleh memudaratkan jika tidak dicegah dari awal.


Baca juga: Idea berborak dengan pasangan


Sumber: Hello Doktor

1 comment:

  1. Paling mujarab ke doktor gigi kan.. kikiki..
    Selalu juga kumur dgn air garam kalau datang sakit tak di duga..

    ReplyDelete

Janga lupa untuk tinggalkan komen =D