Masalah Air Selangor ni memang tak akan pernah habis ke? Selalu sangat ada gangguan. Nak buat kerja harian pun terganggu.
Jangan kata bekalan air terputus je, air yang keluar dari paip pun selalu keruh dan kuning. Nasib tak baik, dah macam air teh. Tadi nak cuci tangan, air paip berbau. Huhuhu..
Kalau air paip macam chipsmore sekejap ada sekejap tak ada pun dah rasa gelabah, cuba bayangkan kalau air tak ada berhari-hari. Nak mandi susah, nak masak terganggu, nak pergi kerja dan hantar anak-anak nak ke sekolah pun jadi kelam-kabut.
Macam itulah yang ramai rakyat Selangor terpaksa hadapi. Gangguan bekalan air yang tak berpenghujung. Dan benda ini bukan cerita baru pun, tapi sejak bertahun-tahun lamanya.
Baca juga: Cara Elakkan Stres Di Rumah
Masalah air yang berulang
Memanglah bukan berlaku setiap hari, tapi masalah yang sama berulang je. Rakyat Seangor dah mula rasa tertekan bila gangguan bekalan air makin menjadi-jadi.
Pada 23 Julai tahun lalu, tujuh kawasan utama termasuk Klang, Shah Alam, Gombak dan Hulu Selangor lumpuh akibat pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah. Empat loji rawatan air terpaksa dihentikan.
Persoalannya, dah berapa kali benda ni jadi? Kenapa pencemaran ni seakan-akan tiada penghujung? Macam tak ada sistem kawalan langsung.
Antara punca utama yang selalu disebut-sebut adalah loji rawatan air dan sistem paip yang dah lama atau uzur dan tak cukup kapasiti. Macam mana tak stres bila teknologi yang ada tak mampu tampung permintaan penduduk yang semakin ramai?
Lepas tu bila musim kemarau atau hujan lebat, loji tak boleh berfungsi. Masalah jadi berganda-ganda dan membebankan.
Pada pertengahan tahun lepas, Air Selangor mengumumkan perlantikan CEO baru dengan harapan untuk selesaikan masalah lama. Tapi setakat ni, Ai masih lagi tertanya-tanya, apa perubahan yang dah dibuat?
Bekalan air masih terputus, sungai masih tercemar, paip lama masih belum diganti sepenuhnya dan servis pun tetap sama. Kalau ada pelan jangka panjang atau inisiatif yang sedang berjalan, kenapa rakyat tak rasa kesannya? Kenapa masih ramai yang kena simpan air dalam baldi dan tong macam hidup di era 90-an.
Tapi sekarang lagi canggih. Kalau mampu, boleh lah beli tangki air yang cantik-cantik letak kat belakang rumah.
Sepatutnya dengan pemimpin baru, datanglah dengan semangat dan hala tuju yang lebih jelas. Tapi malangnya, buat masa ni yang baru cuma nama CEO dan bukan kualiti perkhidmatan.
Ekonomi pun kena tempias
Ekonomi pun kena tempias. Kesan gangguan air bukan pada rumah sahaja. Hospital, kilang dan kedai makan, semuanya terganggu. Bila bekalan air tersekat, aktiviti perniagaan turut terbantut. Akhirnya, bukan sahaja pengguna rasa tertekan, peniaga pun pening kepala.
Sektor ekonomi negeri pun boleh terjejas kalau perkara ini tak diselesaikan dengan segera. Bila gangguan jadi kebiasaan, pelabur pun boleh lari. Siapa yang nak melabur di tempat yang tak stabil?
Tarif air naik lagi? Seriuslah?
Belum habis masalah bekalan, rakyat pula dikejutkan dengan berita kenaikan tarif air. Tahun 2024 dah naik, tahun 2025 dirancang nak naik lagi. Bagi pengguna domestik 50m³ sebulan, bila air naik dari RM56.86 (2023) ke RM 87.63 (2025). Kenaikan 54.12%. Banyak tu!
Cuba kita bayangkan... bil tahunan naik sehingga RM369. Bagi peniaga pula, kos naik sehingga RM1686 setahun. Tengah rakyat bergelut dengan harga barang, minyak dan elektrik yang naik, tarif air pula nak join the party.
Ya, Air Selangor ada berikan alasan. Mereka rancang bina loji baru, guna semula air kumbahan untuk industri, tukan 300 km paip setahun dan pasang panel solar. Pada 2024, rizab air pun dah naik ke 18.60% dan kualiti air capai 99.93%. Secara teknikal, ada progress.
Tapi kenapa setiap kali naik tarif, servis tetap macam dulu? Selalu ada gangguan air, masih ada sungai yang tercemar dan bekalan air yang kotor. Tengah mandi, tiba-tiba keluar air keruh.
Ada bantuan, tapi cukup ke?
Kerajaan Selangor memang ada memberi sumbangan Skim Air Darul Ehsan (SADE), air percuma untuk golongan B40. Tapi bagaimana dengan M40 yang tak cukup kaya, tapi tak layak untuk mendapatkan bantuan? Dan peniaga-peniaga kecil? Mereka juga turut terkesan, malah kadang-kadang lebih teruk lagi.
SPAN pula cakap kenaikan tarif air ni sebahagian usaha nak selaraskan harga air seluruh negara. Ok, faham. Tapi kenapa rakyat Selangor yang dah lama menderita jadi antara yang kena dulu? Ramai dah bersuara, dan ada yang mengadu sampai viral di media sosial. Tapi tindakan kadang-kadang lambat, atau langsung tak nampak. Penat lah macam ni.
Bukan nak hentam, tapi nak suara kami didengari. Nak ada tindakan yang jelas, bukan sekadar alasan teknikal dan press statement. Yang duduk kawasan tinggi, yang berniaga secara kecil-kecilan, semua ini adalah manusia yang mempunyai kehidupan masing-masing, bukan nombor dalam laporan tahunan.
Sampai bila?
Soalan paling besar sekarang, sampai bila nak kena bersabar?
Air ni bukan barang mewah, tapi adalah keperluan asas. Hak rakyat! Nak mandi, masak, membasuh, menyiram, semua gunakan air. Bila air tak ada, semua benda jadi susah.
Kita boleh diam jika berlaku sekali-sekala. Kita faham dalam dunia ni, mana ada yang sempurna. Tapi kalau dah bertahun masalah yang sama masih berulang-ulang, itu bukan takdir. Itu adalah tanda pihak pengurusan kena perbaiki banyak benda.
Kami sebagai rakyat perlukan penyelesaian jangka panjang. Bukan ubat tahan sakit yang sementara. Bukan kenaikan harga dengan alasan 'penambahbaikan'. Kami tak minta banyak, cuma nak hidup macam biasa dengan air yang bersih dan sentiasa ada bila buka paip. Harap masalah Air Selangor ni akan pulih dalam masa yang terdekat.