Ciri-Ciri Anak Autisme: Ibu Bapa Jangan Ambil Ringan Jika Anak Ada Ciri-Ciri Ini!

Wednesday, 29 May 2024

Ciri-Ciri Anak Autisme: Ibu Bapa Jangan Ambil Ringan Jika Anak Ada Ciri-Ciri Ini!


Selama ni tak pernah terlintas dalam fikiran Ai nak tulis tentang autisme. Jujur, Ai ada perasaan takut pada anak-anak autisme. Bukan sebab mereka istimewa tapi Ai takut sebab tak tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan mereka. 


Bila tengok kawan-kawan yang ada anak autisme, Ai selalu terfikir betapa kuatnya mereka nak menjaga dan mendidik anak. Walaupun ada yang cakap tak kuat, tapi pada Ai mereka sangat kuat!


Lawatan ke The National Autism Society of Malaysia (NASOM) 2 tahun lepas, mengubah mindset Ai. Anak-anak autisme ni sama je macam anak-anak yang lain. Mereka cuma ada kekurangan sedikit yang membezakan mereka dengan yang lain.


Autisme


Baca juga: Cara tangani gangguan emosi di tempat kerja


Apa itu Autisme?

Menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat, kejadian autisme adalah 1 daripada 68 kanak-kanak. 


Autisme adalah gangguan perkembangan kompleks yang memberi kesan kepada perkembangan otak kanak-kanak. Gangguan ini mempengaruhi keupayaan mereka untuk berkomunikasi, berinteraksi secara sosial dan belajar seperti kanak-kanak biasa. 


Kesannya, mereka susah untuk berhubung dengan dunia luar. Tingkah laku mereka ada yang terlalu agresif sehingga mencederakan diri sendiri. Ada sesetengah kanak-kanak autisme tidak mahu bercakap, tapi tak semua. 


Ada juga yang mampu bertutur walaupun ada yang sukar difahami atau percakapan yang tidak sesuai. 


Ciri-ciri autisme

Autisme ni boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Tidak mengenal kaum, kaya atau miskin, gaya hidup atau pendidikan seseorang individu atau keluarganya. Ibu bapa biasanya mula perasan gejala yang ada pada anak-anak yang berumur 2 ke 6 tahun.


Satu perkara yang korang kena tahu, tak semua Kanak-kanak autisme menujukkan ciri-ciri yang sama. Setiap orang berlainan ciri-cirinya. Dan Ada juga kanak-kanak yang mempunyai lebih dari satu ciri.


Autisme


Antara ciri-ciri autisme adalah seperti berikut.

1. Tidak takut dengan bahaya.

2. Terlalu sensiitif atau tidak sensitif langsung dengan kesakitan.

3. Mengelak daripada bertentang mata

4. Susah nak beritahu apa yang mereka mahu atau perlu

5. Suka rutin yang sama dan susah untuk diubah

6. Sukar nak berinteraksi dengan orang lain

7. Tidak menunjukkan minat terhhadap sesuatu

8. Mengulangi sesuatu perbuatan atau bercakap tentang perkara yang sama berulang kali

9. Jika bermain, main betul-betul hingga boleh menyakiti diri atau orang lain

10. Mengibas-ngibas tangan tanpa sebab

11. Ketawa berdekah-dekah tak kena pada tempatnya

12. Tidak bermain dengan orang lain.

13. Hanya menyertai sesuatu kumpulan atau aktiviti bila didesak atau ada orang bantu.

14. Tunjukkan keinginan pada tangan orang dewasa.


Punca autisme

Masih belum diketahui punca sebenar autisme, namun dipercayai disebabkan oleh gabungan faktor genetik dan persekitaran.


Berikut adalah beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada autisme.

1. Genetik

2. Faktor biologi dan neurologi

3. Faktor persekitaran

4. Interaksi genetik dan persekitaran


Autisme


Cara mengubati Autisme

Setakat hari ini, tiada ubat untuk mengubati autisme. Akan tetapi, terbukti jika mereka menjalani terapi dan mengambil ubat-ubatan yang ditetapkan dapat mengurangkan gejala autisme. 


Jangan terkejut, ada kanak-kanak autisme yang membesar dengan baik dan menjadi seorang yang terpelajar dan mendapat tempat di alam pekerjaan. Malah ada yang lebih hebat dari kita yang normal.  


Langkah awal ibu bapa yang ada anak autism

Jika ibu bapa nampak ciri-ciri autisme pada anak-anak, jangan kecewa atau buat keputusan yang terburu-buru. Paling penting, ibu bapa kena buat tindakan untuk mendapatkan sokongan serta bantuan yang diperlukan.


Langkah-langkah awal boleh memberikan perbezaan besar dalam perkembangan dan kualiti hidup anak anda!


1. Buat temujanji dengan doktor

Anda boleh bertemu dengan doktor dan jangan berselindung masalah yang ada pada anak anda seperti tanda-tanda autisme yang dikesan. Doktor tak boleh nak bantu dengan lebih mendalam jika anda cuba menyembunyikannya.


Minta rujukan untuk bertemu dengan pakar yang berpengalaman bagi menjalankan penilaian perkembangan yang lebih terperinci untuk memahami tingkah laku dan perkembangan anak anda.


2. Terapi awal

Sekiranya anak anda didiagnosis dengan autisme, mulakan dengan terapi awal seperti terapi pertuturan, terapi pekerjaan serta terapi tingkah laku. Terapi awal boleh membantu meningkatkan komunikasi dan sosial kanak-kanak.


3. Sertai Program Intervensi Awal

Program ini biasanya disediakan oleh kerajaan atau organisasi bukan kerajaan dalam memberi sokongan dan terapi untuk kanak-kanak autisme.


4. Pendidikan khas

Dapatkan maklumat mengenai pendidikan khas dan sekolah yang sesuai untuk anak anda. Program pendidikan khas boleh memberikan persekitaran pembelajaran yang lebih baik untuk keperluan mereka.


5. Pendidikan dan latihan untuk ibu bapa

Belajar sebanyak mungkin ilmu tentang autisme dengan hadiri bengkel atau kursus latihan untuk lebih faham cara yang lebih baik dalam menyokong dan mendidik anak anda.


Dalam masa yang sama, anda boleh masuk ke dalam kumpulan ibu bapa yang mempunyai anak autisme untuk berkongsi pengalaman dan mendapatkan nasihat mereka. Ini sangat membantu untuk menjaga mental serta emosi ibu bapa. 


6. Bersabar

Bersabar adalah kunci untuk meningkatkan semangat ibu bapa dalam memberikan sokongan emosi kepada anak anda. Proses ini mungkin mencabar, namun dengan kesabaran dan kasih sayang sangat membantu anak anda capai tahap yang lebih baik.


Autisme


Pengalaman di NASOM

Macam Ai katakan di awal artikel tadi, Ai tak pernah terfikir nak tulis tentang autisme apatah lagi nak melawat anak-anak autisme ni. Lawatan Ai ke NASOM bukan dirancang dari awal, namun ia menjadi satu pengalaman yang Ai sangat hargai.


Senang kata, Ai tak menyesal ikut lawatan ke NASOM ni. Di sana, Ai baru tahu yang anak-anak autisme ni ramai yang pemalu dan lembut hati. Ada juga yang agresif namun ada cara untuk tenangkan mereka. 


Siapa sangka Ai dapat dan akan bermain dengan mereka? 


Pada awalnya, Ai dan beberapa orang lagi rakan agak takut dengan anak-anak yang agresif, tapi akhirnya, rasa tak nak balik pula. Seronok bermain dengan mereka, lebih seronok sebab boleh skip kerja. Huhuhu!


Kena pukul dengan mereka? Tak ada! Mereka tak kacau orang yang tak kacau mereka. Kalau tak percaya, korang boleh buat lawatan ke NASOM dan korang akan dapat rasakan mereka adalah kanak-kanak yang baik walaupun mereka tak sama macam kita.


Tapi bukan boleh main terjah je tau. Kena buat temujanji dulu. Tapi jangan risau, layanan kakitangan NASOM pun sangat baik dan mereka sangat memberi kerjasama. Malah mereka bantu cadangkan aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak-anak ini.


Autisme


Senoga anak-anak ini akan membesar dan berjaya sama seperti anak-anak yang lain.


P/s: Lawatan ke NASOM ini adalah pada 2 tahun yang lepas. Sebarang pembaharuan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

13 comments:

  1. perkongsian yang amat baik AI

    ReplyDelete
  2. kalau kita dah terbiasa dgn persekitaran yg ada hubungan dgn org autisme mungkin kita akan sedari lbh awal jika ia berlaku kpd anak2...
    thanks for sharing!

    ReplyDelete
  3. di sek sy ada kelas PKKI. tgok anak2 autism ni buleh bergaul dgn murid2 normal bila sek adakan program bersama....

    ReplyDelete
  4. Info yang sangat penting untuk mak ayah. Semoga Allah beri kekuatan buat ibu ayah dan kanak-kanak terpilih. Aameen

    ReplyDelete
  5. Semoga dipermudahkan urusan buat semua ibu bapa.

    ReplyDelete
  6. bestnya ade peluang melawat anak-anak autisme ni. saya pun 'takut' dengan mereka.. takut tak reti nak berinteraksi

    ReplyDelete
  7. tq atas perkongsian.. sedikit sebanyak dapat tambah ilmu..

    ReplyDelete

Janga lupa untuk tinggalkan komen =D